Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
KLANG – Pelawak veteran, Datuk Jamali Shadat, 78, yang terkenal dengan watak Atan kini uzur dan lebih pendiam.
Menurut anaknya, Fauzi,48, dia dan tujuh adik beradiknya amat merindui suara ayah mereka yang dulunya pernah menjadi Imam dan seorang yang rajin berbual.
“Namun selepas ibu saya (Lela Yaakob) meninggal dunia, ayah menjadi murung dan kurang bercakap. Jika bercakap pun perlahan dan pendengaranya agak kurang.
“Ayah ada sakit kencing manis tetapi terkawal dan kini segala urusan makan minum isteri saya yang uruskan,”katanya ketika ditemui di kediamannya di Pulau Indah di sini hari ini.
Terdahulu, Orang Besar Daerah Klang, Datuk Abdul Ghani Pateh Akhir dan Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair, Datuk Irwan Shah Abdullah yang dikenali sebagai DJ Dave hadir mengunjungi Jamali.
Turut hadir sama, Datuk Nash dan Datuk Malek Ridzuan.
Sementara itu, DJ Dave berkata, pihaknya sentiasa berhubung dengan artis-artis veteran yang uzur dan memerlukan bantuan.
“Lawatan hari ini bukan sekadar menghulurkan bantuan tetapi sebagai pengiktirafan kepada artis yang berjasa dalam bidang seni.
“Apabila kami dapat tahu ada rakan seperjuangan artis yang tidak sihat kami akan datang melawat. Saya pun baru menghubungi Jamali dua bulan lalu dan ketika itu masih boleh berbual rancak,”katanya.- K! ONLINE