Oleh OTHMAN YAHAYA
SUNGAI PETANI – Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) mati dipercayai tertembak diri sendiri dalam kejadian di Markas Latihan Luar PGA di Tupah, Bedong dekat sini awal pagi ini.
Mangsa berusia lingkungan 30-an dan berpangkat lans koperal itu ditemui dengan kesan tembakan pada kepala dengan senjata api jenis M-16 kira-kira pukul 4.30 pagi.
Kejadian berlaku di bilik rehat, berek anggota di markas berkenaan dan hanya disedari rakannya yang sedang tidur selepas terdengar bunyi tembakan.
Mangsa dikatakan berada seorang diri di dalam bilik rehat itu sebelum diarah oleh seorang rakannya yang sedang melakukan tugas rondaan di kawasan berdekatan supaya masuk tidur.
Seorang rakan setugas mangsa kemudiannya menghubungi Balai Polis Merbok dan membuat laporan sejurus kejadian itu.
Mangsa berkhidmat di Cawangan Demo Kompeni di Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am (PLPGA) yang berpengkalan di Ulu Kinta, Perak selepas menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2008.
Mangsa yang belum berkahwin dan berasal dari Melaka membuat tugas kawalan di markas itu bersama 14 anggota lain dan semasa kejadian tiada pelatih menjalani latihan di situ.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah yang dihubungi mengesahkan kejadian itu.-K! ONLINE