MANCHESTER – Manchester City melengkapkan perpindahan pemain pertahanan Bournemouth, Nathan Ake dengan nilai £40 juta (RM220.51 juta).
Ake menandatangani perjanjian selama lima tahun sekali gus menjadi pemain kedua dibawa ke Etihad selepas mereka berjaya mendapatkan pemain sayap Valencia, Ferran Torres.
Perjanjian tersebut juga menjadikan Ake sebagai pemain termahal dijual oleh Bournemouth selain dia juga menerima wang tunai berjumlah £1 juta (RM5.51 juta) selepas melengkapkan perpindahan tersebut.
Ake memulakan kariernya bersama Chelsea dan pasukan itu mempunyai klausa pembelian balik dari Bournemouth tetapi City lebih pantas untuk mendapatkan khidmatnya.
“City merupakan kelab yang terbaik di England sejak sedekad lalu. Menyertai pasukan ini adalah satu impian untuk saya.
“Mereka memiliki pemain berkelas dunia. Semua barisan pemain yang berada di sini adalah nama-nama besar dalam bola sepak dunia.
“Pep (Guardiola) merupakan pengurus yang sangat dihormati di seluruh dunia kerana apa yang dilakukannya selama ini menyebabkan dia wajar dihormati. Saya sangat meminati cara permainan yang diterapkannya.
“Saya sedar bahawa cabarannya pasti besar dan perlu bekerja lebih keras sebab itu saya menerima tawaran untuk berada di sini. Saya akan cuba memberikan yang terbaik untuk pasukan ini,” kata Ake.
City turut memburu pemain pertahanan tengah yang berkaliber selepas ketiadaan Vincent Kompany pada Jun 2019 selain pemain mereka, Aymeric Laporte mengalami kecederaan lutut, manakala John Stones dan Nicolas Otamendi dilihat gagal memikat perhatian Guardiola. – AGENSI