PUTRAJAYA – Seramai 7,715 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa diarah menjalani perintah kuarantin wajib di stesen kuarantin yang ditetapkan selepas arahan itu diwajibkan mulai 24 Julai lalu.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 20 didapati positif Covid-19 dan telah dihantar ke hospital bagi menerima rawatan lanjut.
“Mereka telah pulang dari 30 negara termasuk Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura,Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Turki, Korea Selatan dan Iran.
“Negara lain ialah Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis dan Australia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ismail Sabri berkata, mereka ditempatkan di 30 hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Sarawak, Selangor, Johor, Perak, Perlis dan Kedah.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, sebanyak 140 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan 32 direman dan 108 dikompaun kerana terlibat dalam aktiviti kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal.
“Dua warganegara asing turut ditangkap kerana kesalahan imigresen menerusi sekatan jalan raya Operasi Benteng,” katanya. – K! ONLINE