BALIK PULAU – Seorang wanita warga emas berusia 76 tahun kerugian wang sebanyak RM1.84 juta selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan Macau Scam di Bayan Baru di sini kelmarin.
Menurut Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A.A. Anbalagan, pesara kerajaan tersebut menerima panggilan pada Jun lalu daripada individu mendakwa dari Pejabat Pos Malaysia Kuala Lumpur dan polis dari Sabah yang memaklumkan dia telah melakukan kesalahan undang-undang.
“Panggilan daripada individu kononnya pihak pos memaklumkan mangsa melakukan kesalahan iaitu menghantar bungkusan berisi sekeping kad pengenalan dan lapan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dari Kepong, Selangor ke Kota Kinabalu Sabah, namun dia menafikannya.
“Wanita itu kemudiannya menerima panggilan daripada tiga lelaki mendakwa pegawai polis di Sabah yang memaklumkan dia terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram bernilai RM1.48 juta,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Anbalagan, mangsa yang takut dengan penggilan licik itu telah terpedaya sehingga dia memindahkan wang berjumlah RM1.84 juta dalam tempoh kira-kira sebulan seperti diarahkan.
“Mangsa telah mengeluarkan wang simpanannya daripada akaun Tabung Haji, duit pusaka arwah ibu, wang simpanan Amanah Saham Bumiputra (ASB) dan simpanan saham.
“Dia membuat pembayaran melaui lima cek sebelum menyedari ditipu apabila buntu kerana suspek berterusan meminta wang daripadanya,” katanya.
Menurut Anbalagan, kes berkanaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE