Oleh ZAKI SALLEH
IPOH – Integriti sebagai anggota polis menyaksikan enam anggota daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kuala Kangsar yang menolak sogokan menerima surat penghargaan daripada Ketua Polis negeri Perak di sini hari ini.
Sub Inspektor Ramli Awang; Koperal (Kpl) Zaini Omar; Kpl Samsuddin Mat Rashid; Kpl Thyagaran Suhumah; Kpl Isna Nizam Ishak dan Konstabel Azizat Farkhan Kamaruddin
masing-masing menerima surat penghargaan yang disampaikan Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Goh Boon Keng.
Ramli berkata, kejadian tersebut berlaku pada Oktober tahun lalu semasa dia bersama anggotanya melaksankana penguatkuasaan lalu lintas di Jalan Daeng Selili di hadapan Pejabat Pos Kuala Kangsar.
Menurut beliau, salah seorang anggotanya telah menahan sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki warga Bangladesh yang dilihat dalam keadaan mencurigakan dan mendapati dia tidak mempunyai lesen memandu.
“Pemeriksaan lanjut pula mendapati dokumen perjalanan diri lelaki itu telah tamat tempoh lalu dia hendak ditahan bagi tujuan dokumentasi selanjutnya.
“Bagaimana pun, lelaki tersebut cuba merasuah dengan sejumlah wang sebelum dia menghulurkan RM50,” katanya ketika ditemui selepas menerima surat penghargaan sempena Perhimpunan Bulanan Kontinjen Perak di sini hari ini.
Ramli berkata, mereka menolak wang berkenaan serta menahan warga asing tersebut atas kesalahan yang dilakukan.
“Ia bukan disebabkan nilai atau jumlah sogokan tetapi kerana integriti sebagai anggota polis selain menjaga nama pasukan,” ujarnya. -K! ONLINE