fbpx

Tauke burger mahu ambil alih The Red Warrior

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORIZAM bertindak awal merombak skuad TRW besar-besaran sebagai langkah memperkasakan pasukan bagi mengharungi saingan Liga M musim depan.

Oleh YATIMIN ABDULLAH

KOTA BHARU – Seorang usahawan sebuah jenama burger tempatan dari selatan tanah air menyatakan hasrat untuk menyelamatkan masa depan pasukan bola sepak Kelantan dengan berniat mahu mengambil alih pengurusan pasukan tersebut.

Norizam Tukirman,39, yang merupakan pemilik syarikat zamburger.my bagaimanapun meletakkan lima syarat kepada pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) untuk dipenuhi sebelum melakukan rundingan lanjut berhubung hasratnya itu.

Lima syarat itu adalah pengurusan semasa akaun iaitu audit, perancangan semasa pasukan, sturuktur organisasi, pendapatan (aliran tunai) dan analisis penuh pasukan.

Norizam yang juga merupakan seorang pelabur berkata, dia memerlukan maklumat tersebut bagi membolehkan perancangan strategik dilakukan sebagai mungkin bagi memastikan skuad The Red Warrior (TRW) mampu bertahan dalam saingan bola sepak.

“Sukan bola sepak merupakan jiwa saya. Saya sudah mempunyai sebuah pasukan bola sepak iaitu Zamsaham Hotel FC yang menduduki tempat kedua dari 26 pesaing dalam Southern Community League di Johor.

“Saya memilih Kelantan kerana pasukan ini mempunyai penyokong dan akar umbi yang kuat. Jadi, tidak salah jika saya berbuat demikian dengan tujuan memastikan Kelantan terus bertahan di Liga Malaysia (Liga M),” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Terdahulu, Norizam memuat naik status di laman sosial facebook dengan menulis kesediaan dirinya untuk mengambil alih pasukan bola sepak Kelantan.

Status itu kemudiannya tular apabila ia dikongsikan oleh penyokong TRW menerusi aplikasi WhatsApp dan facebook.

Menurut Norizam, bola sepak adalah bentuk hiburan yang mampu menjadi platfrom penyatuan masyarakat.

Katanya, dia mempunyai pasukan yang kukuh untuk mengambil alih TRW sekiranya syarat tersebut berjaya dipenuhi oleh Kafa.

“Insyaallah, kewangan yang saya miliki ketika ini mampu menyelamatkan TRW,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Norizam turut mengesahkan Naib Presiden Kafa,Ahmad Muzakkir Hamid sudah menghubunginya untuk perbincangan lanjut mengenai hasratnya itu.

Sebelum ini, anak Kelantan, Wan Kamal Wan Napi yang tinggal di Amerika Syarikat sedia menyelamatkan TRW dengan
mengambil alih pengurusan pasukan.

Wan Kamal yang merupakan bapa kepada pemain bola sepak yang berpengkalan di Amerika Syarikat (AS) Wan Kuzain dan Wan Kuzri bagaimanapun mahu Kafa melunaskan semua tunggakan hutang lapuk badan induk itu. – K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI