Oleh IVAN AMIRUL
TAWAU – Seorang guru wanita yang maut dalam kemalangan di Kampung Kijang di sini semalam baru sembilan hari melangsungkan perkahwinan.
Mangsa, Dayana Damsah, 27, bernikah dengan suaminya, Nurhan Ayub, 27, pada 27 Julai lalu.
Perkara itu dimaklumkan oleh ibu mertua mangsa, Pujiah Narusin, 56, yang memberitahu, dia mengetahui kejadian yang menimpa Dayana selepas dihubungi anaknya pada pukul 7.50 pagi.
“Anak saya (Nurhan), beritahu Dayana terlibat dalam kemalangan.
“Kami (keluarga) dimaklumkan ada mangsa yang terkorban, namun identiti yang meninggal dunia belum diketahui sehingga pengecaman mayat dibuat oleh ahli keluarga,” katanya.
Pujiah berkata, anaknya dan Dayana bernikah pada 27 Julai lalu dan majlis kenduri dibuat di kediaman pihak perempuan di Kampung Pasir Putih di sini pada hari sama.
Katanya, majlis sebelah pengantin lelaki pula berlangsung pada 1 Ogos lalu di Kampung Muhibbah di sini.
“Selepas bernikah, Nurhan pulang semula ke tempat kerjanya di Kemaman, Terengganu petang semalam (kelmarin),” katanya.
Dalam kejadian itu, Dayana dan rakan sekerjanya, Nurizyani Kafli@Masri, 24, meninggal dunia selepas kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki mereka hilang kawalan dan terbabas.
Kenderaan itu kemudiannya terhumban ke dalam parit dengan keempat-empat tayar ke atas berhampiran Jambatan Merotai Besar, Kampung Kijang.
Dua lagi mangsa, Hasnaini Paiori dan Nur Zairah Aladin parah dan dirawat di Hospital Tawau di sini.
Dalam kejadian pukul 6 pagi itu, keempat-empat mangsa dalam perjalanan ke Sekolah Kebangsaan Umas.
Dalam pada itu, Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Tawau, Penolong Kanan Penguasa Bomba Zulbada Alior berkata, dua mangsa dikeluarkan orang awam, manakala dua lagi dibantu oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan.
Menurut beliau, Dayana dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Nurizyani pula disahkan meninggal dunia di Wad Kecemasan Hospital Tawau.