MILAN – Kelab gergasi Serie A, Inter Milan telah melengkapkan perpindahan pemain sensasi kelahiran Chile, Alexis Sanchez dengan perpindahan percuma daripada kelab Manchester United hari ini.
Sebagai rekod, United sebelum ini telah bersetuju untuk meminjamkan Sanchez selama semusim ekoran kegagalannya mempamerkan aksi yang diharapkan sepanjang mewakili The Red Devils sejak Januari 2018.
Bagaimanapun, Sanchez berjaya menemui sentuhannya bersama skuad kendalian Antonio Conte dan naib juara Serie A itu sangat gembira dapat mengekalkan khidmat Sanchez dengan kontrak selama tiga tahun.
“Keputusan untuk menandatangani Sanchez secara kekal sangat tepat dan saya sangat gembira terutama perpindahan ini berlaku secara percuma.
“Secara jujur, Sanchez tidak begitu menyerlah ketika menyarung jersi United tetapi dia kembali bangkit berada di prestasi terbaik bersama kami. Saya harap dia dapat meneruskan momentum bersama pasukan kami,” kata Conte.
Inter menjadi kelab kedua Serie A buat Sanchez yang pernah mewakili Udinese sebelum berhijrah ke Barcelona dan Arsenal. – AGENSI