Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR
PUTRAJAYA – Lelaki warga Bangladesh, Md. Rayhan Kabir yang mencetuskan kontroversi susulan kritikan terhadap Kerajaan Malaysia menerusi dokumentari di saluran Al Jazeera pada awal Julai lalu akan dihantar pulang ke negara asalnya seawal 31 Ogos ini.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, Md. Rayhan, 25, dijangka dihantar pulang ke Bangladesh akhir bulan ini.
“Saya tidak boleh bagi anggaran bila (Md. Rayhan akan dihantar pulang), cuma penerbangan paling awal ke Bangladesh pada 31 Ogos ini,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Katanya, beliau difahamkan, kertas siasatan mengenai Md. Rayhan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah dihantar kepada Pejabat Peguam Negara untuk diteliti dan sejurus selesai, dia akan dihantar pulang segera ke negara asalnya.
Kelmarin, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat menjelaskan, tindakan usir keluar terhadap Md. Rayhan dibuat selari dengan Seksyen 9 Akta Imigresen 1959/63.
Menurutnya, seksyen itu dengan jelas menetapkan bahawa Ketua Pengarah Imigresen boleh menggunakan perundangan sedia ada untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana warga asing yang ‘tidak dikehendaki’ di Malaysia.
Ini termasuk tindakan mengusir mereka pulang ke negara asal.
Pada 3 Julai lalu, Al Jazeera menyiarkan dokumentari berjudul Locked Up in Malaysia’s Lockdown dengan Md. Rayhan dilihat mengeluarkan kenyataan dengan mengkritik Kerajaan Malaysia dan mendakwa wujud diskriminasi dalam mengendali kes Covid-19 membabitkan warga asing.
Susulan kenyataan kontroversi itu, JIM memohon bantuan orang awam menjejaki Md. Rayhan bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Md. Rayhan akhirnya berjaya ditemui di sebuah kondominium di Jalan Pahang, Kuala Lumpur pada 24 Julai lalu sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Sehari selepas itu, Khairul Dzaimee mengeluarkan arahan supaya Md. Rayhan diusir keluar dan disenarai hitam daripada memasuki Malaysia untuk selama-lamanya. K! ONLINE