Oleh NOOR HASLIZA NUSI
GEORGE TOWN – Seorang pekerja penyelenggara cedera pada kepala selepas terjatuh dari tingkat satu semasa kerja-kerja pembaikan lif dilakukan di pangsapuri Blok 27, Park View Towers, Tingkat Bukit Jambul 1, Bayan Lepas di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa, Muhamad Yusri Abdul Manap, 25, ditemui di bahagian bawah lif berkenaan dalam keadaan masih sedar.
Jurucakap Bomba negeri berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku kira-kira pukul 4.34 petang tadi dan tiba di lokasi kurang 15 minit kemudian.
“Sampai di lokasi didapati seorang pekerja penyelenggara lif bangunan telah terjatuh dari tingkat satu semasa kerja-kerja pembaikan lif dan mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala.
“Tindakan operasi dengan melakukan kaedah sistem mengunakan tali untuk membawa mangsa ke atas dan diberi rawatan awal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut jurucakap, mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang dengan ambulan Angakatan Pertahanan Awam (APM). – K! ONLINE