fbpx

Md. Rayhan direman 13 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Md. Rayhan ditahan pada 24 Julai lalu, ketika bersembunyi di sebuah kondominium di Jalan Pahang, Kuala Lumpur

KAJANG – Mahkamah Khas Kes Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di sini hari ini membenarkan permohonan Jabatan Imigresen untuk menahan reman lelaki kontroversi warga Bangladesh, Md. Rayhan Kabir selama 13 hari bermula esok.

Hakim Saifulakmal Md. Said memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pihak Jabatan Imigresen untuk menjalankan siasatan selanjutnya terhadap lelaki itu.

Peguam C. Selvaraja yang mewakili keluarga Md. Rayhan ketika ditemui selepas prosiding reman itu berkata, anak guamnya yang berusia 27 tahun itu ditahan sehingga 19 Ogos ini.

“Kami sudah menghujahkan apa yang sepatutnya di hadapan hakim bagi membantah permohonan reman itu. Namun, hakim sudah membenarkan permohonan reman 14 hari itu kepada 13 hari sahaja bermula esok,” katanya yang akan membuat satu semakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Ujar beliau, dalam perundangan Imigresen, apabila seseorang warganegara asing ditahan, tempoh tahanannya adalah 14 hari.

Pada masa sama, Selvaraja turut menjelaskan pihaknya juga akan membantu keluarga Md. Rayhan untuk menghantar pulang seberapa segera lelaki itu kerana sensitif dengan keselamatan Md. Rayhan.

“Anak guam kami ditahan secara baik dan tiada sebarang aduan diterima,” katanya lagi.

Terdahulu, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud dilaporkan berkata, Md. Rayhan akan dihantar pulang ke negara asal seawal 31 Ogos ini selain lelaki itu turut disenaraihitamkan daripada memasuki negara ini termasuk pas lawatan kerjanya juga akan ditamatkan.

Md. Rayan menjadi kontroversi di negara ini selepas ditemu bual dalam dokumentari oleh stesen penyiaran Al Jazeera berjudul ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’, yang mendakwa wujud diskriminasi di Malaysia dalam mengendalikan kes Covid-19 membabitkan warga asing.

Dia kemudian ditahan pada 24 Julai lalu, ketika bersembunyi di sebuah kondominium di Jalan Pahang, Kuala Lumpur. – K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI