Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
BERA – Gara-gara seekor kerbau, seorang guru wanita nyaris maut selepas kereta yang dipandunya hilang kawalan dan terbakar selepas melanggar haiwan berkenaan di Kilometer 38 Jalan Temerloh-Melati di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan Mansor Samsudin berkata, kejadian kira-kira pukul 6.47 pagi itu berlaku ketika mangsa, Norpamela Muhamad Mohtar,39, yang memandu kereta jenis Honda City dalam perjalanan dari arah Temerloh menghala ke Melati di sini.
“Apabila sampai di tempat kejadian, tiba-tiba seekor kerbau telah melintas jalan dari sebelah kiri kevsebelah kanan jalan.
‘Kerana sudah terlalu dekat pemandu tidak sempat mengelak dan terus terlanggar kerbau tersebut menyebabkan kereta berkenaan hilang kawalan terus terbabas ke sebelah kanan jalan dan terbakar,”katanya di sini, hari ini.
Menurut Mansor, mangsa terselamat selepas sempat keluar dari kereta sebelum kenderaan itu terbakar dan tidak mengalami kecederaan.
Beliau memberitahu, kes ini disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59 dan siasatan masih giat dilakukan.
Katanya, siasatan awal mendapati tempat kejadian adalah jalan lurus berturap dan semasa kejadian cuaca ceraj dan permukaan jalan kering.
Jelasnya kereta mangsa mengalami kerosakan teruk akibat terbakar pada keseluruhan kenderaan manakala bangkai seekor kerbau yang mati dilanggar juga berada di tempat kejadian.
“Saya ingin menasihatkan kepada pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati apabila melalui jalan yang berselekoh, gelap dan ada binatang liar agar dapat mengelakkan sebarang kemalangan.
“Kepada penternak haiwan hendaklah mengurung binatang ternakan dan jangan membiarkan lepas bebas tanpa pengawasan kerana perbuatan ini membahayakan pengguna jalanraya.