PUTRAJAYA – Kenderaan jenis Toyota Vellfire berwarna putih yang dipercayai membawa bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini dilihat keluar dari agensi itu pada pukul 10.30 malam.
Bagaimanapun kelibat Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang tidak kelihatan di dalam kenderaan tersebut, dipercayai sudah ditahan malam tadi.
Terdahulu Guan Eng tiba di Ibu Pejabat SPRM di sini pada pukul.9.10 malam menaiki kereta tersebut.
SPRM berkata, Guan Eng akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah, Jalan Duta, Kuala Lumpur esok.
Menerusi satu kenyataan, SPRM berkata beliau akan didakwa di bawah seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.
Guan Eng juga akan didakwa di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang pada 10 Ogos ini di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Kedua-dua pertuduhan adalah berkaitan kes projek terowong dasar laut yang dilaksanakan kerajaan negeri di Pulau Pinang dianggarkan bernilai RM6.3 bilion. -K! ONLINE