RATU jalan kaki negara, Elena Goh Ling Yin terpaksa berehat daripada sukan olahraga untuk tempoh enam bulan selepas menjalani pembedahan lutut kiri di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia, Serdang semalam.
Ini kali kedua Elena, 24, menjalani pembedahan selepas lutut kiri dan kanannya juga pernah dibedah disebabkan kecederaan sama iaitu medial collateral ligament (MCL) pada tahun 2015.
Pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu cuba mengelak daripada pembedahan tetapi akur kerana tidak mampu lagi menahan kesakitan.
“Sebenarnya doktor suruh lakukan pembedahan sebelum Sukan SEA Filipina tahun lepas, namun saya tangguh dahulu kerana ketika itu belum kronik dan tidak mengganggu saya berlatih.
“Sekarang sudah mula rasa sakit walaupun cuma jalan di rumah. Selepas saya rujuk dengan doktor, dia beritahu tahap kecederaan ini semakin teruk.
“Sampai bila saya mahu tahan sakit, lagipun sekarang waktu sesuai kerana tidak ada kejohanan tahun ini disebabkan Covid-19. Jadi, saya ambil keputusan untuk jalani pembedahan,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Elena akan menjalani proses rehabilitasi di Institut Sukan Negara, Bukit Jalil selepas dibenarkan keluar hospital dan perlu menggunakan bantuan tongkat bagi tempoh tiga bulan setengah.
Tempoh paling awal Elena kembali berlatih ialah Mac tahun depan sebagai persediaannya memburu pingat emas pada Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam.
Kecederaan lutut adalah punca utama Elena sekadar meraih pingat gangsa acara 10 kilometer pada Sukan SEA Manila 2019 apabila tewas kepada dua musuh tradisinya, Pham Thi Tru Trang dari Vietnam dan atlet Myanmar, Than Than Soe. – K! ONLINE