fbpx

Buruh dijatuhi hukuman mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh, Shahrul Pitri Jusoh, 37, dibawa keluar selepas dihukum gantung sampai mati dan penjara 12 tahun oleh Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini.

IPOH – Perbuatan kejam seorang buruh membunuh tiga kanak-kanak yang juga merupakan adik-beradik dua tahun lalu berbalas apabila dia didapati bersalah dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Tertuduh, Shahrul Pitri Jusoh, 37, turut dikenakan hukuman penjara selama enam tahun bagi kesalahan cubaan membunuh dan masing-masing dua tahun penjara bagi tiga pertuduhan mendatangkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya.

Hakim Anselm Charles Fernandis menjatuhkan hukuman berkenaan selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah, sebaliknya pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap semua pertuduhan.

Anselm Charles berkata, selepas meneliti keterangan Pakar Perunding Forensik dari Hospital Bahagia Ulu Kinta mengesahkan tertuduh waras semasa melakukan perbuatan tersebut.

“Tertuduh juga tahu tentang perlakuan dan perbuatan yang dilakukannya walaupun dia memberitahu tiada niat untuk melakukan perbuatan berkenaan namun keterangan dia sendiri sebaliknya.

“Dengan ini kamu telah didapati bersalah atas semua pertuduhan,” katanya.

Tertuduh yang memakai baju penjara putih hanya menunduk ketika hukuman terhadapnya dijatuhkan.

Terdahulu, dalam rayuan terhadap anak guamnya, peguam bela T. Ellanggovan memohon agar mahkamah mengurangkan hukuman terhadap tertuduh memandangkan dia merupakan buruh yang menyara seorang ibu berusia 80 tahun.

“Tertuduh juga tidak pernah ada rekod jenayah lampau melainkan hanya mempunyai tabiat menghisap dadah untuk diri sendiri dan dia tidak menyangka ia boleh mempengaruhi pemikirannya.

“Dia juga menyesal atas perbuatannya serta memohon maaf kepada semua pihak termasuk keluarga mangsa,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Ainul Wardah Shahidan menyatakan hukuman gantung sampai mati adalah wajar untuk kesalahan bunuh dan memohon hukuman setimpal bagi kesalahan lain.

“Kanak-kanak yang masih kecil dan tidak berdosa ini seharusnya tidak terlibat dengan kejadian ini memandangkan tertuduh hanya mempunyai dendam terhadap bapa mangsa. Oleh itu, hukuman mati adalah wajar baginya,” katanya.

Anselm Charles kemudian menjatuhkan hukuman gantung sampai mati dan penjara selama 12 tahun terhadap tertuduh bermula tarikh dia ditangkap pada 17 Mei 2018.

Mengikut pertuduhan, Shahrul Pitri didakwa atas tiga tuduhan berasingan membunuh Nur Zia Fasihah Mohd. Fadzil, 2, serta dua abangnya, Muhammad Firash Zafrill, 3, dan Muhammad Faqih Zahirulhaq, 5.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di rumah projek bantuan bina rumah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (Maipk) di Kampung Sungai Haji Muhammad, Selekoh, Bagan Datuk antara jam 2.30 hingga 2.40 petang 17 Mei 2018 iaitu pada hari pertama umat Islam berpuasa ketika itu.

Tiga pertuduhan ini dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Kesekaaan yang boleh dihukum gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa cuba melakukan bunuh menggunakan parang terhadap ibu tiga kanak-kanak itu, Zuraidah Mat Ali, 37, di tempat dan masa yang sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga dua puluh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Bagi tiga lagi pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Nur Zuryn Faziera Mohd. Fadzil, 11, dan Nur Aina Umaira Subri, 12, serta Redhuan Embi, 34, di dua lokasi berasingan di titi pondok dan jalan hadapan Sekolah Kebangsaan Sungai Haji Muhammad antara pukul 2.15 petang hingga 2.45 petang hari sama.

Tiga pertuduhan ini dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan tersebut jika sabit kesalahan.

Sepanjang proses perbicaraan, pendakwaan telah memanggil 38 orang saksi manakala dua saksi dipanggil pihak pembelaan untuk memberikan keterangan.

Akhbar sebelum ini melaporkan, tiga kanak-kanak maut manakala empat parah selepas ditetak lelaki dipercayai kurang siuman dalam kejadian amuk di Kampung Sungai Haji Mohamad, Selekoh dekat sini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI