Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR
PUTRAJAYA – Seorang bekas ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat swasta direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah bernilai RM10.4 juta kira-kira enam tahun lalu.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 48 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya kira-kira pada pukul 4.30 petang semalam selepas hadir memberi keterangan.
Difahamkan, suspek disyaki menerima suapan tersebut daripada sebuah syarikat dari luar negara sebagai balasan untuk pembelian 10,000 tablet berjumlah RM24.2 juta (AS$5.8 juta) antara tahun 2014 sehingga 2018.
Bagaimanapun, pembelian tersebut dibuat secara sulit tanpa persetujuan daripada ahli lembaga pengarah syarikatnya sehingga menyebabkan kerugian besar.
Menurut sumber lagi, wang rasuah yang diterima tersebut turut disorok di luar negara termasuk di Singapura dan Hong Kong.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 (ASPRM 2009),” katanya. -K! ONLINE