KAJANG – Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi menetapkan 18 Ogos depan bagi sebutan semula kes empat lelaki warga asing yang didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 13 tahun dua tahun lalu.
Hakim Mohd. Kafli Che Ali menetapkan tarikh itu selepas keempat-empat tertuduh tidak memahami pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Melayu.
Empat tertuduh itu ialah tiga warga Pakistan iaitu Muhammad haque Anwar Ul, Astar Khan, Yousaf gul dan seorang lelaki Bangladesh Md Suhag yang kesemuanya berusia 25 hingga 40 tahun.
Terdahulu semasa prosiding Timbalan Pendakwa Raya Norhana Sahat memohon mahkamah memberi satu tarikh baharu memandangkan kesemua tertuduh tidak faham bahasa Melayu.
“Tertuduh warga Pakistan hanya faham bahasa Urdu manakala tertuduh warga Bangladesh hanya faham bahasa Bangladesh. Jadi saya pohon satu tarikh baharu untuk pertuduhan dibacakan dalam bahasa mereka,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan polis telah
menahan empat lelaki warga asing membabitkan warga Pakistan dan Bangladesh berusia lingkungan 25 hingga 40 tahun.
Kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes seorang remaja perempuan berusia 13 tahun yang didakwa telah dirogol keempat-empat suspek setelah mangsa dilacurkan oleh bapanya sendiri.
Selain empat warga asing itu, polis turut menahan bapa mangsa berusia 43 tahun yang turut melakukan perbuatan sama terhadap mangsa.
Hasil siasatan polis mendapati bapa mangsa telah melakukan pebuatan melacurkan anaknya itu sejak tahun 2017 selain isterinya yang turut dilacurkan.
Perbuatan terkutuk itu terbongkar selepas ibu saudara mangsa membuat laporan polis yang mendakwa anak saudaranya dirogol serta dilacurkan oleh suspek sejak mangsa berusia 10 tahun.- K!ONLINE