fbpx

Tiada istilah takut kepada netizen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WANI KAYRIE

TIDAK mahu lari daripada tanggungjawab, penyanyi muda, Wani Kayrie akan tetap melakukan promosi drama Dayang Senandung dengan harapan peminat sudah lebih terbuka dengan konsep cerita tersebut.

Insiden dikecam selepas membuat video TikTok dengan solekan wajah berwarna hitam hampir dua bulan lalu memberikan banyak pengajaran buatnya.

Video tarian Wani yang berimej kulit hitam kerana disolek bagi penggambaran drama bersiri Dayang Senandung dianggap menghina golongan berkulit gelap.

Biarpun kritikan yang diterima akibat isu tersebut sudah berkurangan, Wani masih lagi berhati-hati dengan setiap tindak-tanduknya dalam media sosial.

Ketika mula-mula mendapat kecaman, pemilik nama Syazwani Abdullah itu memilih untuk menutup ruangan komen dan meletakkan Instagramnya dalam mod privasi kerana tidak tahan membaca kecaman yang melampaui batas.

 

Satu petisyen pernah diwujudkan oleh netizen dalam Twitter mendesak penggambaran drama Dayang Senandung dihentikan selepas video TikTok Wani tular.

 

Kini, Wani lebih bersedia untuk berdepan situasi sama apabila dia perlu kembali mempromosikan drama Dayang Senandung yang bakal disiarkan tidak lama lagi.

“Sebenarnya saya risau akan berlaku gelombang kecaman kali kedua tentang imej solekan warna hitam terutama daripada golongan yang tidak tahu asal usul cerita Dayang Senandung.

“Namun sekarang saya lebih bersedia terutamanya dari segi mental untuk berdepan kritikan. Saya tahu, apa yang saya buat adalah atas dasar kerja dan tiada niat lain,” jelasnya ketika dihubungi HibGlam baru-baru ini.

Tanggungjawab

Biarpun berdepan risiko dipandang sebelah mata atau diselar khalayak, pelantun lagu Jangan Jangan ini tidak pernah terfikir untuk menidakkan tanggungjawabnya sebagai pendukung watak utama drama berkenaan.

Pertama kali diberi kepercayaan sebagai heroin dalam dunia lakonan, wanita muda berusia 20 tahun itu berjanji setiap promosi bagi drama terbitan Zeel Productions tersebut akan dibuat mengikut strategi sebagaimana yang disarankan penerbit.

“Saya tidak akan lari daripada tugas sebagai pelakon untuk menguar-uarkan drama ini terutamanya dalam media sosial.

“Kali ini, setiap kapsyen pada gambar promosi akan ditulis dengan tepat dan padat agar maklumat yang disampaikan tidak tersasar maksudnya,” tegasnya.

Tambahnya lagi, dia tidak akan mengalah dengan cubaan segelintir netizen yang ingin memburukkan nama baiknya. Wani meneguhkan hati untuk melihat isu tersebut dari sudut positif.

“Sudah menjadi adat dunia hiburan, kritikan dan isu tular memang tidak boleh dielak terutama dalam dunia media sosial seperti sekarang. Insya-Allah, saya okey,” tuturnya.

 

Biarpun video tarian Dayang Senandung yang dimuat naik dua bulan lalu sudah dipadamkan daripada akaun TikTok, Wani masih menerima kecaman dalam platform berkenaan terutama daripada pengguna luar negara. – Instagram Wani Kayrie

 

Cinta

Habis soal kerjaya, tidak lengkap rasanya jika berbual dengan si kecil molek ini tanpa sedikit usikan soal cinta dan kekasih hati.

Baru-baru ini, penyanyi seangkatan, Afieq Shazwan ada memberitahu, hubungannya dengan Wani sudah semakin dingin biarpun mereka pernah dikatakan menjalin cinta.

Tatkala diajukan soalan sama kepada Wani, dia hanya tertawa kecil sambil memberitahu, hubungan mereka baik-baik sahaja.

Mengakui masih berkawan seperti biasa, anak kelahiran Sandakan, Sabah itu menolak untuk bercinta atau menjalin hubungan istimewa dengan sesiapa pun buat masa sekarang.

“Saya tiada masa untuk mempunyai komitmen cinta sekarang kerana sibuk bekerja dan menyambung pelajaran di Management & Science University (MSU) Shah Alam dalam jurusan undang-undang.

“Memang saya dan Afieq pernah rapat, bahkan dia pernah memberitahu sukakan saya tetapi rasanya itu perasaan lama sewaktu mula-mula berkawan.

“Sekarang kami biasa-biasa sahaja,” jelas Wani tanpa mahu memanjangkan soal hati jadi bingkisan umum.

Wani mengakui pernah intim bersama Afieq Syazwan tetapi tidak mahu mengulas lanjut soal cinta memandangkan mereka masih terlalu muda.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI