SERDANG – Tertekan akibat kehilangan pekerjaan dipercayai punca kematian seorang bekas juruterbang Air Asia di kondominiumnya di Bandar Kinrara di sini kelmarin.
Dalam kejadian pukul 3.10 petang itu, mayat mangsa, A. Sanjiv Daevin, 35, ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian di bahagian bawah kondominum itu oleh pengawal keselamatan sebelum memaklumkan kejadian kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, hasil siasatan mendapati mangsa sebelum ini bekerja sebagai juruterbang sebuah syarikat tempatan dan telah diberhentikan kerja dua bulan lalu.
“Mangsa dikatakan berada dalam keadaan tidak dapat mengawal diri sebelum bertindak terjun dari tingkat 12 unit kediamannya.
“Hasil pemeriksaan polis tidak menjumpai sebarang unsur jenayah dalam kes tersebut dan hasil bedah siasat mendapati mangsa maut akibat kecederaan jatuh dari tempat tinggi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya lagi, siasatan lanjut sedang diteruskan dan orang ramai diingatkan agar tidak membuat sebarang komen yang boleh mengganggu siasatan dan mengguris hati keluarga.
Difahamkan, mayat mendiang Sanjiv akan dibawa ke Krematorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di Jalan Kuari Taman Pertama, Cheras, pukul 4 petang ini untuk proses membakar mayat. – K! ONLINE.