Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
JOHOR BAHRU – Kegiatan sindiket pengedaran dadah Bobby yang beroperasi sejak tiga bulan lalu berjaya dilumpuhkan pihak polis selepas melakukan 10 serbuan berasingan di sekitar kawasan Seri Alam dan bandar raya ini, minggu lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, seramai 24 individu termasuk tujuh wanita warga asing berusia 16 hingga 61 tahun ditahan dalam serbuan bermula Isnin hingga Jumaat lalu.
Menurutnya, penangkapan sindiket pengedaran dadah itu, polis berjaya membuat rampasan pelbagai jenis dadah melibatkan 1.89 kilogram (kg) ketamin, ganja (895g), serbuk ekstasi (2.3kg), heroin (2g), pil ekstasi (2,469 biji), pil erimin 5 (859 biji) dan dua biji pil yaba bernilai RM425,571.
“Dalam operasi pertama, bahagian siasatan jenayah narkotik Daerah Seri Alam menahan tiga lelaki dan lima perempuan tempatan serta dua wanita warga asing selain membuat rampasan dadah pada pukul 1.40 pagi di sebuah premis pusat hiburan di Permas Jaya, dekat sini, minggu lalu.
“Hasil siasatan dan maklumat soal siasat dilakukan, antara individu yang ditahan ialah dalang sindiket iaitu lelaki tempatan yang dikenali sebagai Bobby bersama teman wanitanya, warganegara Vietnam,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Ayob Khan berkata, dalam soal siasat yang sama, polis juga berjaya mengenal pasti sindiket berkenaan mendapatkan bekalan dadah dari Kuala Lumpur untuk pasaran tempatan selain menggunakan seorang wanita warga China sebagai salah seorang pengedar dadah sindiket itu yang beroperasi di sekitar Taman Century, di sini.
“Hasil daripada serbuan pertama, polis membuat empat lagi serbuan susulan di sekitar kawasan Pasir Gudang, Permas Jaya dan Iskandar Puteri diikuti lima lagi serbuan di sekitar kawasan Johor Bahru.
“Hasil saringan urin mendapati 19 suspek positif dadah jenis methaphetamine dan ketamin. Hasil semakan rekod juga mendapati lapan suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah jenayah,” katanya kesemua suspek ditahan reman selama 14 hari bermula Isnin, minggu lalu.
Menurut Ayob, hasil serbuan tersebut, polis turut merampas pelbagai barangan kemas anggaran bernilai RM32,956, dua kenderaan dengan anggaran nilai RM214,000 serta wang tunai pelbagai mata wang dianggarkan berjumlah RM14,000.
Tambah beliau, pihak polis turut menyita lima akaun bank tempatan milik tiga individu yang dipercayai hasil kegiatan pengedaran dadah yang berjumlah RM30,234.
“Polis juga sedang giat menjalankan usaha mengesan saki-baki ahli sindiket berkenaan yang dipercayai masih bebas. Pada tahun ini sahaja, kita sudah menumpaskan lapan sindiket pengedaran dadah di negeri ini sehingga hari ini,” tambahnya. – K! ONLINE.