fbpx

Polis tumpaskan Geng Adi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID

MELAKA – Polis menahan lapan lelaki berhubung perbuatan khianat terhadap sistem telekomunikasi Telekom Malaysia (TM) di sekitar negeri ini sejak minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, penahanan kumpulan digelar Geng Adi itu membabitkan suspek berusia antara 24 dan 42 tahun yang bekerja sebagai pekerja kontrak.

Menurutnya, ia susulan laporan diterima juruteknik TM mengenai berlakunya perbuatan khianat memotong kabel optik yang mengakibatkan gangguan isyarat telekomunikasi di beberapa kawasan sejak 30 Julai lalu.

“Tangkapan suspek pertama berusia 31 tahun dibuat pada pukul 12.50 pagi Isnin lalu di rumahnya di Muar, Johor diikuti suspek kedua, 25 tahun di Parit Raja, Johor.

“Suspek utama, iaitu ketuanya berusia 42 tahun ditahan pukul 5 pagi di Ayer Keroh bersama sebuah kereta Mercedes diikuti penahanan suspek keempat hingga lapan selepas itu.

“Semua lapan suspek direman empat hari bermula dari tarikh tangkapan,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Taklimat prosedur Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Balai Polis Malim di sini hari ini.

Menurutnya, polis turut merampas tiga buah kenderaan iaitu Proton Saga FLX, Perodua Alza, kereta Mercedes dan beberapa peralatan yang disyaki digunakan melakukan perbuatan memotong kabel.

“Berdasarkan siasatan awal, kita tidak tolak kemungkinan perbuatan khianat ini berpunca daripada saingan dalam perniagaan kerana semua kabel terbabit hanya dirosakkan tetapi tidak dicuri.

“Dengan tertangkapnya kumpulan ini, kita berjaya menyelesaikan beberapa kes memotong kabel di daerah ini yang dianggarkan membabitkan kerugian anggaran RM500,000 yang terpaksa ditangung TM,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI