fbpx

Perodua catat jualan tertinggi bulan Julai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

 

KUALA LUMPUR – Perodua mencatat jualan kenderaan tertinggi pada bulan Julai, nilai tertinggi yang dicapai setakat tahun ini dengan rekod sebanyak 23,203 unit kenderaan mengatasi bulan Jun sebanyak 9.2 peratus.

Jumlah tersebut telah meningkatkan jumlah jualannya pada tahun ini (YTD) ialah 97,373 unit.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, penguasaan pasaran Julai dan YTD sebanyak 40 peratus dan 42 peratus masing-masing, diterajui Myvi, Axia dan Bezza, yang menduduki tiga tempat teratas dari segi jualan YTD di Malaysia dengan 29,313, 28,107 dan 25,416 unit dijual masing-masing.

“Perodua Myvi, kenderaan terlaris di Malaysia setiap tahun sejak 2006, baru-baru ini telah dinaiktaraf dengan sistem Bantuan Pemanduan Selamat (ASA) 2.0 terkini.

“Ia kekal menjadi antara kenderaan dengan ciri keselamatan canggih yang paling mampu milik di negara ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Zainal Abidin menjelaskan, sejak kembali beroperasi selepas penutupan selama dua bulan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jualan syarikat telah melonjak kembali dengan cepat, didorong pengecualian cukai jualan oleh pihak kerajaan yang akan berlangsung sehingga akhir tahun.

“Sekiranya perkembangan ini berterusan, jumlah jualan yang menggalakkan ini akan membolehkan kami membantu eko-sistem pembekal dan pengedar automotif pada masa yang sukar ini,” tambahnya.

Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) menganggarkan bahawa jumlah keseluruhan industri (TIV) sekurang-kurangnya 500,000 unit diperlukan tahun ini untuk memastikan kelangsungan eko-sistem automotif.

“Di sebalik krisis Covid-19 ini, kami menyedari bahawa kami harus bekerja pada kapasiti penuh untuk membantu ekonomi Malaysia dan melindungi pekerjaan.

“Sebagai peneraju pasaran, keutamaan Perodua adalah untuk terus menawarkan produk dan perkhidmatan terbaik untuk memaksimumkan kepuasan pelanggan,” jelasnya.

“Kami komited untuk terus menawarkan nilai yang lebih baik kepada semua rakyat dari segi harga yang berpatutan, kualiti, teknologi dan ciri-ciri canggih yang terbaharu.

“Semua model semasa Perodua mempunyai kandungan komponen tempatan lebih 90 peratus dan disebabkan skala ekonominya, alat ganti servis ditawarkan pada harga yang berpatutan dan mudah didapati, memberikan para pelanggannya ketenangan minda yang menyeluruh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI