fbpx

Pendaftaran pelajar secara pandu lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kakitangan USIM memeriksa suhu ibu bapa dan pelajar secara pandu lalu bagi semasa proses pendaftaran pelajar baharu di USIM, Nilai hari ini.

Oleh ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI

SEREMBAN – Proses pendaftaran pelajar baharu untuk program Tamhidi bagi sesi akademik 2020/2021 di Kolej Kediaman Nilam Court, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai, di sini hari ini dijalankan secara pandu lalu.

Pengarah Pusat Perumahan Pelajar USIM, Mohd. Salehudin Sukur berkata, langkah tersebut diambil bagi mengurangkan kesesakan sekali gus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Malah katanya, sehubungan dengan itu juga, buat pertama kali, pendaftaran penuntut baharu dijadual mengambil masa selama lima hari sehingga 7 Ogos depan walaupun kebiasannya ia hanya mengambil masa selama satu hari sahaja.

“Alhamdullilah, hari ini adalah hari ketiga sesi pendaftaran pelajar, biasanya kita hanya mengambil masa selama satu hari sahaja, kali ini kita ambil masa selama lima hari agar semua pelajar dapat mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Pada tahun ini, sedikit keunikan kita buat adalah pendaftaran secara ‘drive thru’ atau pandu lalu iaitu ibu bapa hanya menurunkan pelajar dan menghadkan ibu bapa daripada masuk ke dalam kediaman,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

USIM menerima seramai 1,339 penuntut baharu program Tamhidi bagi empat program iaitu Perakaunan dan Muamalat 295 pelajar, Perubatan, Pergigian dan Sains (288), Sains Fizikal dan Teknologi (480) serta Syariah dah Undang-undang (276).

Sementara itu, Mohd. Salehudin memberitahu, bagi menyekat penularan Covid-19, pihak USIM juga mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengasingkan pelajar dari dua kawasan iaitu Kubang Pasu, Kedah dan Kuching, Sarawak di blok kediaman yang berlainan.

“Kami akan meletakkan mereka di unit sedikit berjauhan iaitu satu rumah seramai tiga hingga empat pelajar dan mereka perlu kuarantin diri mereka selama 14 hari hari.

“Pihak keluarga tidak perlu risau kerana kita akan memastikan perlindungan yang terbaik dan mereka akan merasa selamat,” katanya.

Terdapat seramai 19 penuntut baharu dari Kubang Pasu manakala lima lagi adalah dari Kuching.

Sementara itu, katanya, USIM akan menjalankan sesi taaruf secara dalam talian
kepada semua pelajar termasuk yang dikuarantin.

“Jadi tiada sebarang perjumpaan atau kelas diadakan ketika ini,” katanya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI