NASIB pasukan Kelantan ibarat ‘telur di hujung tanduk’ selepas Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan dua slot penyingkiran Liga Premier ke saingan divisyen ke-3, Liga M3 musim ini masih berjalan seperti biasa meskipun kancah Liga Bola Sepak Amatur (AFL) dibatalkan sepenuhnya tahun ini.
Ini kerana, pasukan jolokan The Red Warriors itu bakal bergelut di bawah carta liga bersama dua lagi pasukan tercorot iaitu Kuching FA dan Perak 2 selepas dipotong tiga mata gara-gara gagal menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain dan pegawai Kelantan.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan berkata, pembatalan saingan Liga M3 dan Liga M4 kelolaan AFL ekoran pandemik Covid-19 tidak menjejaskan sama sekali format promosi dan relegasi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2020 ini.
“Format saingan Liga M masih lagi sama dengan dua pasukan tempat teratas Liga Premier akan naik pangkat ke Liga Super kecuali kelab feeder. Begitu juga dengan format relegasi apabila dua pasukan tercorot Liga Super dan Liga Premier tetap berdepan penyingkiran.
“Perkara ini sudah jelas dan semua pasukan sedia maklum dengan format yang dikeluarkan meskipun saingan AFL dibatalkan musim ini. Mengenai siapa yang akan naik pangkat ke Liga Premier, itu akan diserahkan sepenuhnya kepada pihak AFL.
“Secara keseluruhan, saya harap semua pasukan khususnya yang bersaing dalam kancah Liga Premier supaya mengambil serius kerana mereka berpotensi untuk diturunkan andai berada di dua tangga terbawah liga musim ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Sementara itu, Pengerusi AFL, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi turut mengesahkan dua pasukan yang bersaing dalam saingan AFL tetap berpeluang dinaikkan pangkat ke Liga Premier tetapi mekanisme dan format masih belum diputuskan secara rasmi.
“Meskipun saingan AFL dibatalkan, slot untuk dua pasukan layak ke Liga Premier musim depan tetap terbuka kerana dua pasukan tercorot saingan tersebut akan berdepan relegasi. Cuma, cara dan bagaimana dua pasukan itu dipilih nanti hanya akan diumumkan kemudian,” katanya. – K! ONLINE