SUASANA sepi pada hujung minggu itu akhirnya dipecahkan dengan bunyi bingit rotor helikopter yang dihidupkan.
Tidak berapa lama kemudian, helikopter jenis Guimbal Cabri G2 yang dikendalikan oleh Komander (B) Mohamed Sabri Baharom mula terapung di udara untuk diterbangkan.
Serentak dengan itu, orang ramai yang berada di padang golf di Templer Park Country Club, Rawang, Selangor terus memberi tumpuan bagi melihat aksi helikopter tersebut di udara.
Sewaktu di ruang udara, beberapa aksi akrobatik helikopter berkenaan telah dipersembahkan.
“Saya kagum melihat aksi helikopter ini di udara. Guimbal Cabri G2 ini boleh dikategorikan sebagai helikopter ringan tetapi aksinya di udara sangat stabil dan lincah.
“Saya pernah mengikuti perjalanan tanpa henti helikopter ini dari Pulau Pinang ke Selangor melalui aplikasi FlightRadar24 dan ketahanannya juga membuatkan saya kagum,” kata Mohd. Harith Hadzir Rosdi, 30 kepada K2.
Mohd. Harith yang aktif sebagai planespotters (penjejak pesawat) turut tidak melepaskan peluang untuk hadir ke situ bagi merakam foto-foto menarik helikopter tersebut.
Baru-baru ini Kelab My Heli (My Heli Club) telah menjemput pihak media bagi mempromosikan penerbangan helikopter sebagai wadah untuk rekreasi selain memperkenalkan Guimbal Cabri G2 milik mereka.
Kelab My Heli ialah kelab helikopter persendirian pertama yang berdaftar di negara ini. Kelab ini dikategorikan sebagai pertubuhan bukan komersial yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).
Presiden Kelab My Heli, Kapten Ahmad Jauhari Yahya berkata, visi penubuhan kelab tersebut adalah untuk menyatupadukan dan mempertemukan pemilik-pemilik helikopter, juruterbang dan peminat industri penerbangan.
Kelab tersebut telah diasaskan oleh para profesional dalam industri penerbangan yang telah bersara selain pemilik-pemilik helikopter pada Julai 2018.
“Kami berhasrat untuk berkongsi minat ini bersama mereka di luar sana yang menggemari penerbangan helikopter di Malaysia serta menjadikannya sebagai satu aktiviti rekreasi,” katanya kepada media.
Antara aktiviti rekreasi kelab yang menggunakan slogan Terbang Terbang Cari Makan itu ialah mereka telah terbang ke Bentong, Pahang untuk menikmati Lemang To’ki yang terkenal.
Mereka juga menggunakan helikopter untuk terbang ke Tanjung Malim, Perak bagi menikmati nasi padang serta mengunjungi ladang dan dusun di Perlis dan Johor.
Selain itu, Ahmad Jauhari berkata, di Malaysia sendiri banyak tempat-tempat menarik yang kadangkala sukar untuk dikunjungi menggunakan pengangkutan darat mahupun pesawat yang memerlukan landasan untuk mendarat.
“Di negara kita banyak air terjun serta hutan yang cantik, tetapi malangnya sukar untuk kita sampai ke sana. Namun, dengan helikopter, kita mampu untuk ke situ dan tidak memerlukan ruang yang sangat besar untuk mendarat.
“Begitu juga pulau-pulau yang ada di negara ini di mana kita turut boleh menikmati keindahannya melalui udara menggunakan helikopter,” katanya.
Tambahnya, dengan kos yang munasabah, kini banyak tempat menarik di Malaysia boleh diteroka dengan helikopter. Selain menjimatkan masa, kawasan-kawasan yang sukar diakses dengan kenderaan darat mahupun pesawat juga boleh dilawati dengan mudah.
Berpangkalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, Selangor, kelab tersebut diketuai oleh Ahmad Jauhari dan sebuah jawatankuasa eksekutif yang dianggotai tujuh orang serta mempunyai seramai 28 ahli.
Guimbal Cabri G2
Antara ahli kelab itu adalah individu bertaraf kapten kanan yang berkhidmat dengan Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) selain tenaga-tenaga pengajar yang disahkan oleh Agensi Keselamatan Kesatuan Eropah.
Mereka juga mempunyai pengalaman latihan yang luas dan telah membuat penerbangan helikopter pada jumlah jam yang lama di Malaysia dan luar negara.
Dalam pada itu, selain mempromosikan helikopter untuk tujuan rekreasi, kelab tersebut juga mahu menjadi platform bagi mereka yang berhasrat mengambil lesen juruterbang helikopter pada harga berpatutan.
Kelab tersebut memiliki dua unit helikopter baharu, Guimbal Cabri G2 iaitu Rouge dan Bleu yang dibeli dengan menggunakan sumber kewangan kelab dan turut digunakan untuk tujuan latihan.
Helikopter tersebut mempunyai ciri keselamatan yang canggih dan sangat sesuai untuk melatih juruterbang baharu.
Dikenali sebagai The Little Big Helicopter, helikopter itu mempunyai dua tempat duduk dan dihasilkan di Perancis.
Kenderaan itu menggunakan sistem rotor tiga bilah bagi memastikan kestabilan dalam semua keadaan.
Guimbal Cabri G2 direka dengan ciri perlindungan terhadap juruterbang dan penumpang dan satu-satunya helikopter enjin piston yang diperakui peraturan EASA SC27- dan FAR 27 dengan memastikan penyerapan tenaga berimpak tinggi.
Sewaktu ujian kemalangan dilakukan, juruterbang atau penumpang akan bertahan dalam hentakan kuat dan keselamatannya adalah 15 kali lebih tinggi daripada helikopter lain.
Helikopter tersebut juga mempunyai ketahanan untuk terbang selama empat hingga lima jam bagi satu-satu masa.
Menerangkan mengenai helikopter berkenaan, Ahmad Jauhari berkata, beberapa tahun lalu mereka menyedari bahawa kelab penerbangan memerlukan helikopter terbaik dengan harga berpatutan bagi melatih ahli-ahlinya.
“Selalunya kadar bayaran untuk program latihan bagi mendapatkan lesen menerbangkan helikopter di dalam negara adalah mahal.
“Namun, dengan adanya helikopter ini, bayaran untuk program latihan boleh dikurangkan dan kami berhasrat untuk menjadikan penerbangan helikopter lebih mudah diakses oleh lebih ramai rakyat Malaysia,” katanya.
Oleh kerana kelab ini adalah entiti bukan komersial mereka mampu menawarkan program latihan jauh lebih murah di bawah harga pasaran.
Kelab tersebut menawarkan program latihan helikopter dengan dengan kos sekitar RM180,000 bagi setiap pelajar.
Pihak berkuasa telah menetapkan had umur 17 tahun sebagai umur minima untuk mendapatkan lesen penerbangan helikopter.
Tetapi sebelum itu, pelajar mesti terlebih dahulu disahkan sihat dan layak dari segi perubatan sebelum dibenarkan untuk mengambil 11 kertas teori di sekolah latihan penerbangan.
Antara kertas teori itu merangkumi mata pelajaran undang-undang udara, prinsip penerbangan dan meteorologi yang perlu diselesaikan dalam tempoh 12 bulan.
Selain itu, mereka juga perlu melengkapkan 53 jam penerbangan seperti yang disyaratkan oleh CAAM sebelum memperoleh Lesen Juruterbang Peribadi Helikopter.