KUALA LUMPUR – Selama ini helikopter dilihat sebagai pengangkutan eksklusif untuk urusan rasmi, namun orang ramai kini berpeluang menggunakan pesawat ringan tersebut untuk bersiar-siar atau berkunjung ke tempat makan pilihan.
Bagi ahli Kelab My Heli, kelab helikopter persendirian pertama yang berdaftar di Malaysia, aktiviti terbang ke tempat makan popular seperti Restoran Lemang To’ki di Bentong, Pahang dengan menggunakan helikopter sudah menjadi rutin bulanan mereka.
Eksekutif Komite Kelab My Heli, Shirley Hoo berkata, perjalanan dengan menggunakan helikopter ke restoran tersebut dilihat lebih mudah dan menjimatkan masa.
“Setiap bulan kami akan terbang ke Restoran Lemang To’Ki di Bentong. Apabila menjelang musim perayaan, kami akan terbang dua hingga tiga kali dalam sebulan hanya untuk membeli lemang,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Menurut Shirley, kebiasaannya mereka menggunakan dua jenis helikopter iaitu Robinson GG (R66) dan Guimbal Cabri G2 untuk ke restoran tersebut.
Perjalanan ke Restoran Lemang To’ki memakan masa 25 hingga 30 minit dari Subang, Selangor.
Tambahnya, Kelab My Heli yang menggunakan slogan Terbang Terbang Cari Makan menjadikan penerbangan menaiki helikopter sebagai satu kaedah rekreasi.
Katanya, selain Lemang To’Ki, kelab itu juga terbang ke destinasi lain antaranya Gunung Tahan di Pahang; Pulau Perhentian, Terengganu; Pulau Langkawi dan lain-lain destinasi.
Dalam pada itu, Shierly memberitahu, kos penerbangan berbeza mengikut jenis helikopter.
“Misalnya, kos penerbangan ke Restoran Lemang To’Ki yang menggunakan Robinson GG (R66) adalah RM3,500 sejam untuk tiga orang.
“Bagi Guimbal Cabri G2, kos dianggarkan RM2,500 sejam seorang,” katanya.
Kelab My Heli turut membuka peluang kepada orang ramai untuk menjadi ahli kelab itu dengan yuran tahunan RM2,200.
Mereka yang berminat untuk menyertai ahli kelab tersebut boleh menghubungi melalui e-mel [email protected]. – K! ONLINE