fbpx

Jakim, Yadim sumbang RM25,000 untuk maahad tahfiz terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
gambar hiasan

Oleh SHAARANI ISMAIL

PARIT – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menyumbang bantuan awal sebanyak RM25,000 kepada Maahad Tahfiz al-Quran Masjid Lama Lambor Kanan dekat sini yang terbakar Khamis lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, sumbangan berkenaan adalah bantuan awal disalurkan kerajaan dalam membantu maahad tahfiz berkenaan.

“Kerjasama kita akan eratkan dengan Jabatan Agama Islam Perak dan mereka yang bertanggungjawab dalam melihat sejauh mana keperluan yang diperlukan oleh maahad tahfiz berkenaan.

“Apa pun saya lebih berminat dengan konsep di mana kita sama-sama membantu dan bukan hanya dari satu pihak semata-mata,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dan menyampaikan sumbangan kepada Maahad Tahfiz al-Quran Masjid Lama, Lambor Kanan dekat sini hari ini.

Dalam kejadian jam 12.25 tengah malam itu, seramai 115 pelajar lelaki maahad tahfiz berkenaan berjaya menyelamatkan diri selepas tiga blok bangunannya terbakar.

Kebakaran berkenaan memusnahkan sebuah bangunan dua tingkat yang mana tingkat bawah dijadikan tempat penyimpanan barang masakan manakala bahagian atas tempat penyimpanan barang pelajar seperti pakaian.

Zulkifli berkata, pihaknya juga menggalakkan semua maahad tahfiz di negara ini supaya berdaftar dengan pihak berwajib bagi membolehkan penyaluran bantuan dan maklumat dilaksanakan dengan lebih baik.

Pada majlis itu Jakim menyumbang sebanyak RM20,000 manakala Yadim menyumbang sebanyak RM5,000. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI