fbpx

Hikmah Covid-19 untuk Sukan Olimpik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
KHAIRI MOHAMAD, PENOLONG PENGARANG BERITA

 

PANDEMIK Covid-19 ternyata mengubah seluruh dunia apabila umat manusia kini terpaksa meninggalkan sebahagian apa yang pernah dijalani sebelum ini.

Virus pembunuh ini memberi kesan yang besar kepada beberapa aktiviti dan industri dunia termasuk dalam aspek kesukanan.

Sukan Olimpik 2020 yang sepatutnya berlangsung di Tokyo Julai lalu terpaksa ditunda ke tahun depan begitu juga kejohanan bola sepak Euro 20 juga dijadualkan semula pada 2021.

Namun, pandemik itu juga sebenarnya boleh dilihat dalam sudut pandang berbeza terutama peluang kepada atlet negara yang akan ke temasya sukan terbesar dunia itu.

Seharusnya situasi ini tidak menyebabkan semangat atlet merudum kerana Covid-19 mampu diterjemahkan sebagai hikmah yang manis dan pencetus kepada misi pemburuan emas pertama negara.

Antara perspektif positif yang mungkin boleh dilihat adalah penangguhan ini membuka peluang buat atlet yang belum layak mencuri slot ke sana, manakala mereka yang sudah mengesahkan tempat di Tokyo nanti mampu membuat persiapan yang lebih baik.

Covid-19 yang ‘menyerang’ dunia menyaksikan hampir seluruh negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan sekali gus menyebabkan semua aktiviti termasuk program latihan para atlet terhenti.

Masalah ini dialami oleh semua atlet di seluruh dunia menyebabkan mereka berdepan masalah mengekalkan prestasi kerana tidak dibenarkan menjalani rutin latihan.

Ia menyebabkan semua atlet terpaksa membina semula kecergasan dan itu bermakna bahawa semua atlet di seluruh dunia berada pada tahap yang sama ketika ini.

Apa yang membezakannya adalah bagaimana seseorang atlet itu mampu kembali bangkit dengan cepat untuk berada dalam tahap persediaan yang jitu bagi beraksi di pentas tersebut pada Julai tahun hadapan.

Ketika ini tidak ada atlet dunia yang boleh mendabik dada bahawa mereka mampu menguasai pentas O­limpik nanti kerana kebanyakannya ragu-ragu dengan prestasi semasa dan kesempatan inilah yang perlu diambil oleh atlet kita untuk bersiap pada tahap terbaik bagi melakar kejutan di sana nanti.

Bagaimanapun, kita berharap wabak ini akan segera berakhir kerana atlet ini perlu dihantar menyertai kejohanan tertentu sebelum ke Olimpik untuk menilai kemampuan dan tahap prestasi.

Beberapa kejohanan yang dijadualkan berlangsung pada September nanti mungkin terpaksa dibatalkan dan kebanyakan berpendapat kalender pertandingan mungkin hanya akan bermula selepas Disember nanti.

Sekiranya kekal dijadualkan tahun hadapan, ini adalah pe­luang terbaik buat atlet negara untuk mencipta kejutan, kerana selepas apa yang berlaku tiada siapa yang boleh menjangka kemungkinan dan peluang negara untuk meraih kilauan emas Olimpik pertama dalam sejarah.

Apa yang penting, para atlet negara perlu percaya bahawa Olimpik kali ini benar-benar berbeza dan apa yang membezakan adalah kekuatan mental serta keyakinan bahawa kemampuan atlet yang bertanding untuk meraih pingat adalah sama. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI