PENYELUDUPAN masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) daripada etnik Rohingya ke negara ini masih berlaku meskipun pelbagai usaha dilakukan pihak berkuasa untuk membendung kegiatan tersebut.
Salah satu lokasi yang menjadi laluan ‘kegemaran’ sindiket penyeludupan etnik itu adalah melalui perairan Langkawi.
Kemasukan etnik tersebut bukanlah sedikit tetapi pernah melibatkan sehingga ratusan migran setiap kali mereka ditemui terdampar di pantai pulau-pulau di perairan Langkawi.
Modus operandi (MO) sindiket penyeludupan Rohingya ini juga kerap kali berubah bagi mengelakkan dihidu pihak berkuasa.
Ada yang sengaja membocorkan bot dan merosakkan enjin bagi mengelak tindakan pengusiran dilakukan selain mendarat di lokasi tersembunyi seperti pulau-pulau lain yang terletak berhampiran Pulau Langkawi.
Dalam kejadian terbaharu, seramai 27 etnik Rohingya ditemui bersembunyi di kawasan hutan sebuah pantai persendirian, Pantai Rebak Besar.
Pulau Rebak Besar terletak kira-kira 3 kilometer dari Pantai Chenang dan perjalanan ke pulau itu dengan bot mengambil masa tujuh minit.
Terdahulu, seramai 24 PATI dipercayai etnik Rohingya dikhuatiri lemas di perairan barat Pulau Langkawi kira-kira pukul 8 malam, 25 Julai lalu.
Ia susulan tangkapan lelaki Rohingya bernama Nor Hossain, 27, yang kemudian mendakwa terdapat kira-kira 24 lagi rakan senegaranya telah terjun dari bot dan hanya dia yang terselamat berenang ke daratan.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan dengan menggunakan aset APMM terdiri daripada kapal KM Gagah, bot Pelindung 2 dan pesawat AW139 yang merangkumi sektor pencarian seluas 109 batu nautika.
APMM kemudian menerima aduan daripada seorang nelayan tempatan yang telah menjumpai seorang lelaki Rohingya di Pulau Rebak Besar dan hasil siasatan, migran itu memaklumkan terdapat 26 lagi PATI masih bersembunyi di pulau tersebut.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, hasil siasatan mengesyaki kemasukan etnik Rohingya itu mempunyai kaitan dengan bot nelayan tempatan yang bertindak sebagai ‘transporter’ selain tekong darat dalam kalangan warga tempatan.
“Mereka disyaki bersubahat dengan sindiket bagi menyeludup migran ke Langkawi,” katanya.
Kata beliau, MO sindiket adalah menggunakan taktik menyeludup migran yang dipindahkan dari bot induk ke bot-bot nelayan tempatan bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Kita memandang serius perkara ini dan akan terus mempergiatkan lagi usaha untuk meningkatkan kawalan dan pemantauan,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Abdul Hamid Bahari ketika dihubungi tidak bersetuju dengan kenyataan APMM yang membuat tuduhan terhadap komuniti nelayan tanpa mengemukakan sebarang bukti.
“Jika ada bukti, boleh nyatakan kepada kami dan sekiranya betul, tindakan tegas boleh diambil terhadap mereka,” katanya.
Kata beliau, ada kemungkinan penyeludup itu tidak mempunyai lesen dan menggunakan sampan atau bot sendiri untuk melakukan kegiatan penyeludupan.
“Banyak kemungkinan boleh berlaku kerana ramai yang memiliki sampan atau bot sendiri.
“Komuniti nelayan selama ini memainkan peranan penting dalam menyalurkan maklumat berkaitan jenayah,” jelasnya. – K! ONLINE