Oleh IVAN AMIRUL
KOTA KINABALU – Polis memburu empat individu warga tempatan membabitkan tiga lelaki serta seorang wanita berusia lingkungan 41 hingga 46 tahun.
Semua individu berkenaan diburu atas pelbagai kesalahan penipuan termasuklah penjualan dan projek penyelenggaraan tanah di Sabah.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, suspek pertama dikenali sebagai Adward Saatah dan beralamat di Kampung Malagatan Tongod dan Taman Sibuga, Sandakan.
Zaini berkata suspek dikehendaki berikutan kesalahan penipuan penjualan tanah selain projek penyelenggaraan jalan yang tidak wujud bernilai RM150,000 bagi kedua-dua kes.
“Kes kedua pula adalah seorang lelaki bernama Henry Chin Fu Sook yang beralamat terakhir di Taman Wijaya, Manggatal. Lelaki berkenaan dikehendaki bersabit kesalahan pecah amanah atas wang hasil jualan runcit milik sebuah syarikat bernilai RM24,272.40.
“Kes ketiga pula membabitkan seorang lelaki bernama Wong Tze Yuen yang didakwa melakukan kesalahan pecah amanah sebanyak RM371,315.08. Suspek melakukan pecah amanah di sebuah syarikat pengedaran dan pemasaran rokok di Penampang.
“Manakala suspek terakhir giat diburu melibatkan seorang wanita bernama Hasmah Tarudin yang beralamat di Taman Putatan Baru, Putatan.
“Suspek didakwa melakukan kesalahan penipuan membabitkan permohonan lanjutan pasport yang tidak wujud,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah semalam.
Dalam pada itu, Zaini menyatakan suspek kedua dan ketiga ini disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah pekerja.
Sementara itu, Zaini meminta orang ramai yang mempunyai maklumat semua suspek diminta menyalurkan kepada IPD Penampang ditalian 088-712 222. – K! ONLINE