KUALA LUMPUR – Setelah hampir lima bulan menyulam kasih, pelakon Dayana Roza selamat mengikat tali pertunangan dengan pilihan hatinya dalam satu majlis yang diadakan di Damai Glass House, Kuala Lumpur sebentar tadi.
Dayana atau nama sebenarnya, Nur Dayana Kamsun Bahari, 29, memilih ahli perniagaan, Adale Adham Ayahudin, 33, sebagai bakal pasangan hidupnya.
Dayana dan Adale mengikat tali pertunangan selama empat bulan sebelum merancang untuk ke jenjang pelamin pada pertengahan Disember depan.

Menurut Dayana, lelaki itu pernah melamarnya untuk menjadi isteri empat tahun lalu dan mereka telah berkawan sejak enam tahun lalu.
“Tapi saya tolak sebab Adale jenis suka menyakat sehinggalah dia melamar saya penghujung tahun 2019 selepas tahu saya sudah kembali solo,” katanya.
Pada majlis itu, Dayana memberikan lima dulang hantaran dan dibalas tiga oleh Adale.
Terdahulu, pelakon drama Seadanya Aku itu mengakui sedang menjalin hubungan cinta dengan seorang jejaka sejak awal tahun ini. – K! ONLINE