KUALA LUMPUR – Gelang dipakai seorang wanita yang dikatakan individu dalam pemantauan Covid-19 merupakan gelang masuk ke sebuah taman tema air di Ipoh.
Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat hari ini oleh seorang pengadu yang dipercayai pemilik restoran dikunjungi wanita berkenaan sewaktu gambarnya tular di media sosial.
Pengadu memaklumkan, dia menerima gambar wanita yang tular tersebut menerusi aplikasi WhatsApp pada pukul 5 petang semalam.
Difahamkan, setelah dia meneliti rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), gelang itu dikenal pasti sebagai gelang masuk ke salah sebuah taman tema air di Ipoh.
Pengadu sekali gus menafikan berita tular tersebut dan meminta pihak polis mengambil tindakan sewajarnya.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz mengesahkan perkara berkenaan. – K! ONLINE