Oleh SHAARANI ISMAIL
PARIT – Rakyat Malaysia akan dibenarkan untuk menunaikan umrah sekiranya keadaan semasa Covid-19 di negara ini terkawal dan semakin menunjukkan penurunan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, kebenaran itu bagaimanapun boleh berubah sekiranya keadaan semasa menunjukkan sebaliknya.
“Sebab itu jangkaan boleh jadi berubah dan boleh jadi tidak dibenarkan. Seperti baru-baru ini, ibadah haji pun pada asasnya kita bersedia untuk menghantar jemaah tetapi melihat suasana dan situasi semasa ia boleh berubah.
“Jadi kami menyambut baik apa-apa keputusan Arab Saudi kerana mana-mana negara pun akan mengutamakan kemaslahatan dan kesihatan rakyatnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dan menyampaikan sumbangan kepada Maahad Tahfiz al-Quran Masjid Lama Lambor Kanan dekat sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Paimuzi Yahya; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Tuan Kamarul Arief Tuan Soh dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd. Yusop Husin.
Beliau mengulas laporan Okaz/Saudi Gazzate yang memetik kenyataan Timbalan Menteri Haji, Umrah dan Hal Ehwal Haji Arab Saudi, Dr. Hussein Al-Sharif bahawa kementeriannya akan memulakan segera persiapan bagi musim umrah.
Dr. Hussein dipetik berkata, kementerian akan mengkaji pengalaman ketika musim haji kali ini yang menyaksikan penyelarasan dan prosedur kesihatan terunggul bagi memastikan ibadah haji lancar walaupun Arab Saudi terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.
Awal pagi Khamis lalu, tiga blok bangunan maahad tahfiz berkenaan terbakar namun 115 pelajar maahad tersebut terselamat dan tidak menghadapi sebarang kecederaan.
Zulkifli berkata, jika semua keadaan mengizinkan sudah tentu kebenaran untuk menunaikan umrah untuk rakyat Malaysia akan diberikan, namun begitu rakyat masih perlu berjaga-jaga dan mengambil langkah sewajarnya dalam mengekang dan mengawal penularan Covid-19.
Ditanya mengenai kemungkinan akan berlaku peningkatan kos dalam menunaikan ibadah umrah, Zulkifli berkata, perkara itu memang tidak dapat dielakkan kerana sememangnya kos akan mengambil kira penambahbaikan aspek keselamatan dan kesihatan.
Katanya, kos tambahan dalam menunaikan umrah bagi rakyat Malaysia jika dibenarkan juga akan mengambil kira kos ujian saringan Covid-19 serta beberapa kos tambahan lain yang akan diperhalusi kemudian. – K! ONLINE