MADRID – Bintang Real Madrid, Gareth Bale mendedahkan sikap penyokong pasukan itu (Madridistas) yang sentiasa mencemuhnya membuatkan dia hilang keyakinan untuk beraksi.
Meskipun dianggap antara pemain yang paling banyak mencurahkan bakti buat pasukan itu, namun Bale memiliki hubungan yang agak dingin dengan penyokong Real.
Kegagalan bercakap dalam bahasa Sepanyol serta tidak memiliki hubungan yang baik dengan jurulatih, Zinedine Zidane menjadi punca pemain antarabangsa Wales itu gagal memikat hati penyokong Real.
Bale berkata, dia pernah dicemuh oleh semua penyokong Real yang berada di stadium sehingga menyebabkan dia hilang keyakinan serta gagal menampilkan aksi terbaik.
“Saya pernah dicemuh oleh 80,000 penyokong di stadium kerana gagal bermain dengan baik. Ia bukannya satu tindakan bijak dan menyebabkan moral pemain jatuh.
“Anda jangka penyokong akan berikan sokongan sekiranya berdepan kesukaran tetapi sebaliknya yang berlaku di sini. Mereka mencemuh dan memaki anda hingga hilang keyakinan,” kata Bale.
Pemain berusia 31 tahun itu juga menyuarakan kekeliruan apabila penyokong Real tidak boleh menerima hobinya yang gemar bermain golf pada waktu lapang.
“Saya tidak faham kenapa ramai orang yang tidak puas hati dengan hobi saya bermain golf. Doktor pun tidak menyatakan bermain golf satu hobi yang tidak sihat,” ujarnya. – AGENSI