Oleh NUR ALINA HASSAN
LABIS- Tiga pekerja pusat cuci kenderaan di Jalan Waja, Taman Perindustrian Labis, di sini, terpaksa dikejarkan ke hospital awal pagi tadi selepas pengsan ketika membersihkan sebuah tangki yang mengisi muatan sisa minyak kapal.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Labis, Penolong Penguasa Bomba, Mohd. Farizan Mokhtar berkata, dalam kejadian pukul 4.51 pagi itu, kesemua mangsa berusia antara 25 hingga 35 tahun dipercayai pengsan akibat terhidu sisa kimia yang masih berbaki dalam tangki berkenaan.
“Sebaik menerima panggilan kecemasan, lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian dan setibanya pihak bomba didapati benar tiga pekerja pusat cuci kenderaan telah pengsan ketika melakukan kerja-kerja pembersihan di tangki minyak sebuah lori jenis Scania.
“Komander operasi kemudian bertindak mengarahkan dua anggota untuk masuk ke dalam tangki tersebut dengan memakai set lengkap bantuan alat pernafasan (BA) bagi membuat operasi penyelamatan kepada tiga mangsa,” katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, kesemua mangsa dibawa keluar daripada tangki dan diserahkan kepada kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi untuk memberikan rawatan awal.
Beliau berkata, tiga pekerja berkenaan dipercayai terhidu sisa kimia secara berlebihan akibat ruang pengudaraan yang tidak cukup sewaktu operasi pembersihan dijalankan.
“Kesemua mangsa berada dalam keadaan stabil dan dibawa ke Hospital Segamat untuk rawatan susulan. Operasi tamat pada pukul 6.07 pagi,” katanya.- K! ONLINE.