MENYIMPAN lebihan wang di bank tanpa mengembangkannya bagi menjana pendapatan tambahan boleh dikatakan sesuatu yang amat merugikan.
Sebaiknya, wang tersebut dilaburkan di platform pelaburan yang boleh dipercayai, sekali gus membolehkan kita mendapat keuntungan.
Seiring dengan transformasi teknologi dan mendukung digitalisasi sebagai penggerak utama, Permodalan Nasional Berhad (PNB) memperkenalkan aplikasi Raiz yang berfungsi sebagai platform pelaburan mikro berinovatif.
Aplikasi tersebut dibangunkan oleh Raiz Malaysia Sdn. Bhd., sebuah syarikat usaha sama antara anak syarikat PNB, Jewel Digital Ventures Sdn. Bhd. (JDV) dan Raiz Invest Australia Ltd. (Raiz Invest), anak syarikat Raiz Invest Limited yang disenaraikan di Bursa Saham Australia (ASX).
Matlamat utama Raiz adalah untuk menyediakan satu platform pelaburan yang mudah bagi pemegang unit untuk menyimpan dan melabur secara proaktif dalam dana-dana unit amanah yang diuruskan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).
Pada peringkat awal ini, platform ini tersedia secara eksklusif untuk pemegang akaun Maybank.
Aplikasi Raiz membolehkan anda melabur dengan kerap secara automatik tanpa perlu bersusah payah.
Potensi besar
Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, aplikasi Raiz di Malaysia terhasil apabila salah seorang bakat muda PNB iaitu Aidi Izham Mohd Khalil yang kini merupakan Ketua Eksekutif, Raiz Malaysia Sdn. Bhd. mengemukakan ideanya di Cabaran Inovasi PNB yang diadakan secara tahunan.
Katanya, idea beliau adalah untuk membangunkan sebuah aplikasi mudah alih yang boleh melabur wang daripada pembelian harian secara automatik.
“Saya amat gembira kerana idea menarik ini dapat direalisasikan sebagai sebuah aplikasi mudah alih yang berpotensi besar untuk memberi manfaat kepada orang ramai secara menyeluruh.
“Didorong oleh pengalaman dan kepakaran Raiz Invest Australia, aplikasi inovatif Raiz kini tersedia untuk semua rakyat Malaysia.
“Memandangkan lebih 90 peratus rakyat negara ini menggunakan telefon pintar, ini bermakna orang ramai boleh melabur dengan mudah menggunakan aplikasi ini,” katanya ketika majlis pelancaran aplikasi Raiz baru-baru ini.
Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut adalah Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias.
Seperti kata pepatah, sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit, dalam era teknologi pada masa kini, kita tidak perlu lagi menyimpan wang, sebaliknya dapat membuat pelaburan dengan platform Raiz.
Raiz adalah aplikasi mudah alih pelaburan mikro yang memanfaatkan wang baki secara maya daripada pembelian harian pengguna untuk dilaburkan dalam dana harga berubah ASNB secara proaktif berdasarkan portfolio pelaburan peribadi masing-masing.
Ia adalah cara unik untuk pengguna memanfaatkan sepenuhnya setiap sen yang mereka belanjakan dengan bakinya boleh disimpan dan dilabur.
Selain daripada pelaburan yang dibundarkan, pengguna boleh memilih untuk melabur secara pelaburan sekali gus, selain pelaburan berulang.
Dalam pada itu, Ahmad Zulqarnain berkata, strategi keseluruhan perniagaan digital PNB itu bertujuan untuk menyelami dunia teknologi kewangan menerusi JDV.
“Bagi sebuah organisasi dengan visi untuk menjadi institusi pelaburan bertaraf dunia, kami amat teruja menjadi antara yang terawal untuk menggunakan peralatan sistem serba canggih ini.
“Dengan penawaran nilai digitalnya, kami melihat potensi untuk Raiz menjadi pembuka laluan kepada mereka yang ingin membuat pelaburan,” jelasnya.
Idea itu bersesuaian dengan usaha berterusan PNB dalam memperkasa dan menggalakkan warga Malaysia untuk mengamalkan perancangan kewangan yang lebih berhemah.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Raiz Invest Australia, George Simon Lucas pula mengulas, Raiz adalah platform digital yang kukuh dan berdaya maju untuk membantu memudahkan pengurusan kekayaan peribadi.
“Kami dapat memanfaatkan pengalaman masing-masing, khususnya pengalaman Raiz Invest dalam pelaburan automatik. Ini terutamanya dalam bidang pelaburan wang baki setelah mewujudkan platform serupa di Australia dan Indonesia.
“Ditambah dengan pengalaman PNB yang luas dan mendalam sebagai antara institusi pelaburan terbesar di Malaysia.”
Pemegang unit boleh memulakan pelaburan mereka dengan memuat turun aplikasi mudah alih Raiz secara percuma di platform Google Play dan Apple Store dan menghubungkannya dengan kad debit Maybank mereka.