fbpx

Proton catat jualan tertinggi sejak tahun 2012

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

 

KUALA LUMPUR – Proton Holdings Bhd. (Proton) mencatat jualan sebanyak 13,216 unit kenderaan Julai lalu, jumlah tertinggi oleh syarikat automotif nasional itu sejak Jun 2012.

Rekod tersebut antara lain disokong inisiatif pengecualian cukai jualan kenderaan oleh kerajaan dan permintaan pengguna yang semakin meningkat untuk kenderaan Proton.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, empat model keluarannya telah merekodkan jualan tertinggi dalam segmen masing-masing bulan lalu iaitu Saga, X70, Exora dan Persona.

 

 

“Saga menjadi pilihan utama dalam pasaran sedan segmen A dengan 5,421 unit berjaya dijual pada Julai, termasuk 1,100 unit Edisi Ulang Tahun Saga yang habis ditempah dalam tempoh lima hari selepas ia dilancarkan pada 9 Julai.

“Proton X70 pula mencatatkan jualan sebanyak 3,087 unit untuk terus menjadi kenderaan utiliti sukan (SUV) terlaris di Malaysia dengan pegangan pasaran sebanyak 25.6 peratus.

“Sebanyak 3,043 unit Persona dijual pada Julai, mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju sedan segmen B manakala Exora kekal menjadi pilihan utama bagi pasaran kenderaan pelbagai guna segmen C dengan 792 unit terjual,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

 

Menurut Roslan, pegangan pasaran Proton sehingga Julai tahun ini dijangkakan berada pada paras 21.8 peratus.

Tambah beliau, pihaknya mendapati peningkatan jualan tersebut turut memberi impak positif kepada aspek perniagaan lain.

“Sebagai contoh, Proton Commerce, penyedia pembiayaan kenderaan dalaman syarikat telah mencatat peningkatan jumlah pinjaman sebanyak 100 peratus berbanding bulan sebelumnya.

“Kami akan terus berusaha memberi tawaran menarik kepada pasaran dan merangsang jualan sebagai persiapan untuk memperkenalkan lebih banyak model pada akhir tahun ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI