fbpx

Pasangan tular sebenarnya pakai tag kedai haiwan peliharaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Posting yang tular sejak dua tiga hari lalu berkenaan pasangan ini.

GEORGE TOWN – Sepasang kekasih yang gambar mereka didakwa memakai gelang tangan merah jambu di kawasan tempat letak kereta Bukit Bendera di sini yang tular di media sosial semalam sebenarnya mengenakan tag kedai haiwan peliharaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya telah memanggil lelaki berusia 21 tahun itu dan pasangannya berusia 22 tahun bagi memberi keterangan semalam dan mendapati mereka tidak memakai tag individu di bawah pengawasan (PUS).

“Siasatan mendapati mereka mengenakan gelang berwarna merah jambu yang tertera tulisan ‘Husky and The Gang’ untuk masuk ke dalam sebuah kedai haiwan peliharaan ketika mereka pergi ke kedai itu kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

“Oleh kerana mereka mahu kembali ke kedai tersebut pada sebelah malam, pasangan itu tidak menanggalkan gelang tersebut sebelum pergi ke Bukit Bendera kira-kira pukul 3 petang.

”Kedai itu membenarkan pengunjung untuk masuk semula dengan syarat memakai tag tersebut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Soffian, pasangan dari Butterworth, Seberang Perai dekat sini itu mengaku bahawa mereka adalah individu yang gambarnya tular dan menjelaskan mereka tidak pernah ke luar negara.

“Semakan dengan Kementerian Kesihatan melalui senarai individu PUS Covid-19 yang diarahkan menjalani kuarantin di rumah mendapati nama mereka tiada dalam senarai.

“Mereka juga mengambil keputusan tidak naik ke Bukit Bendera selepas terpaksa menunggu lama untuk membeli tiket,” katanya lagi.

Kosmo! Online semalam melaporkan sekeping gambar yang memaparkan pasangan itu yang mengenakan gelang berwarna merah jambu berada di tempat letak kereta Bukit Bendera tular di Facebook sehingga menimbulkan keresahan orang awam. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI