Errizwan pasang impian wakili Malaysia dalam permainan video FIFA
WALAUPUN cuma berstatus pemain e-Sukan amatur tetapi Muhammad Errizwan Muhammad Nazrin tidak pernah melupakan impiannya untuk mewakili Malaysia dalam permainan video FIFA.
Pencapaian tertinggi pemuda berusia 25 tahun itu setakat ini adalah mewakili Kelantan pada Grand Final Kejohanan Virtual Bundesliga Kelayakan Asia Tenggara 2019 di Battle Arena, Petaling Jaya.
“Pemenang pertandingan itu mendapat peluang untuk mewakili Malaysia. Saya berjaya ke kelompok 64 daripada 300 lebih peserta tetapi malangnya saya tersingkir selepas kalah kepada pemain yang akhirnya muncul juara.
“Bagaimanapun, saya tetap bersyukur dan berbangga kerana sekurang-kurangnya saya dapat ke pusingan final daripada beratus-ratus pemain yang cuba melayakkan diri.
“Saya pernah menang tetapi cuma kejohanan-kejohanan kecil. Kalau yang besar-besar ini cabaran saya sejauh suku akhir sahaja,” katanya.
ERRIZWAN (kiri) bersama rakan sepasukan ketika mewakili Kelantan pada Grand final Virtual Bundesliga Asia Tenggara Kelayakan Malaysia 2019.
Errizwan menyifatkan dirinya amat kerdil jika dibandingkan dengan pemain-pemain profesional negara seperti idolanya, Muhammad Luqman Haziq Hajiman yang pernah mewakili Malaysia ke Kejohanan FIFA Ultimate Team (FUT) 2019.
Pemain dari Bachok itu sedar masih banyak kelemahan perlu diperbaiki terutama dari aspek kekuatan mental jika mahu merealisasikan impiannya membawa nama negara ke kejohanan antarabangsa.
“Kelemahan paling utama saya ialah cepat mengalah. Contohnya, kalau saya diundi menentang pemain profesional, awal-awal lagi dalam kepala saya sudah fikir akan kalah.
“Kalau pertandingan offline, mental memang kena kuat sebab ramai orang tengok, silap-silap main dengan tangan menggeletar. Itu belum lagi kena psiko dengan gaya pihak lawan meraikan jaringan,” jelasnya.
Penyokong setia Manchester United itu menjadikan strim langsung FIFA sebagai salah satu platform menguji kemampuan diri kerana boleh menerima maklum balas daripada penonton berhubung kelemahan dalam permainannya.
Walaupun jumlah penontonnya kurang jika dibandingkan dengan streamer lain tetapi Errizwan tidak pernah putus harapan kerana merasakan strim secara langsung mampu meningkatkan kualiti permainannya.
Malah, dia juga tidak merasakan pekerjaan hakikinya sebagai draftsman di sebuah syarikat kejuruteraan minyak dan gas membataskan peluangnya untuk melakukan strim secara langsung.
“Saya mula berkecimpung dalam dunia streamer baru setahun tetapi sehingga ke hari ini mesti ada orang tengok saya tengah strim secara langsung. Saya jadi lebih bersemangat sebab ada penonton tetap.
“Saya tidak boleh jadi streamer sepenuh masa kerana saya masih ada kerja. Saya cuma perlu pandai bahagi masa supaya saya dapat fokus kepada kedua-duanya,” katanya.
Errizwan kini mempunyai hampir 4,500 pengikut di laman Facebook rasminya yang diberi nama errykambek kerana kemampuannya mampu bangkit memenangi perlawanan di hujung permainan video FIFA. – K! ONLINE