PUTRAJAYA – “Hana rindu mama sangat sangat.”
Itu antara luahan hati seorang remaja perempuan iaitu anak pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang dipercayai dibunuh suaminya dengan leher dijerut menggunakan tudung di dalam kereta di Taman Mas, Putra Perdana pada Rabu lalu.
Luahan hati itu dimuat naik remaja berusia 14 tahun tersebut yang merupakan anak tunggal pasangan itu di akaun Facebook miliknya kelmarin.
Kata-kata tersebut meruntun jiwa ramai netizen yang membacanya.
Berdasarkan catatan penuh yang ditulis remaja perempuan itu, dia meluahkan penghargaan kepada ibunya yang membesarkannya selama ini serta mendoakan agar dapat bertemu wanita kesayangannya tersebut di akhirat.
“Hana harap mama tahu yang mama sentiasa disayangi orang di sekeliling mama. Terima kasih mama.
“Mama ditimpa ujian demi ujian lalu tiba masanya untuk mama pergi. Hana rindu mama sangat sangat.
“Semoga kita ditemukan semula arwah mama sayangku,” katanya menerusi luahan tersebut.
Sementara itu, rata-rata netizen memberikan kata-kata semangat kepada anak tunggal kepada wanita tersebut.
Seorang pemilik akaun bernama Fiza Mustafa dalam hantaran komennya di Facebook meluahkan rasa sedih dengan kejadian yang menimpa mangsa dan berharap semoga anak perempuannya tabah menghadapi dugaan.
“Allah…sedihnya, semoga dia tabah menghadapi ujian kehilangan mama tersayang,” katanya.
Seorang lagi netizen, Herdawati Munawar mengucapkan salam takziah kepada anak tunggal arwah dan memintanya untuk terus kuatkan semangat.
“Salam takziah kepada kamu. Moga kamu kuat sentiasa. Kami turut merinduinya, semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang diredai-Nya,” ujarnya.
Kamil Usop dalam hantaran komennya mendoakan agar anak mangsa berjaya dalam pendidikan seperti yang diharapkan oleh ibunya dan kebajikannya terjaga.
Dalam pada itu, seorang lagi pelayar Facebook dengan akaun bernama Nurussana Hafizul meminta anak mangsa menerima takdir yang ditetapkan Allah dengan hati yang tenang.
“Semoga adik terus kuat dan menerima takdir yang ditetapkan Allah. Selalu sedekahkan surah Al-Fatihah kepada ibumu agar dia tenang di sana,” katanya dalam hantaran tersebut.
Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Noraini Ahmad turut memuat naik ucapan takziah di akaun Facebook milik beliau malam kelmarin.
“Salam takziah kepada seluruh keluarga arwah. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan seluruh ahli keluarga tabah menghadapi dugaan Allah. Al-Fatihah,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan, mangsa, Prof. Madya Dr. Maizatulnisa Othman, 40, dibunuh suaminya yang berusia 41 tahun dengan menjerut leher wanita itu menggunakan tudung yang dipakai dalam kejadian di Taman Mas, Putra Perdana, Sepang pada Rabu lalu.
Suspek seorang sukarelawan sebuah badan bukan kerajaan kemudiannya membawa mangsa menaiki sebuah kereta Perodua Myvi ke sebuah tasik di pinggir Cyberjaya pada pukul 4.30 petang pada keesokan harinya.
Lelaki terbabit telah meletakkan mangsa di tempat duduk pemandu dan meninggalkannya dengan enjin kereta dihidupkan.
Dia kemudiannya menghubungi MERS 999 dan memberitahu, konon isterinya tidak sedarkan diri di dalam kereta berhampiran tasik tersebut.
Motif pembunuhan dipercayai suspek berang selepas mangsa mahu bercerai dengannya. – K! ONLINE