fbpx

Hartalega catat untung RM219.72 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

 

KUALA LUMPUR – Keuntungan bersih Hartalega Holdings Bhd. mencatat untung bersih RM219.72 juta pada suku pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2019 dengan pertambahan 134 peratus berbanding RM94.06 juta tempoh sama tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Kuan Mun Leong berkata, perolehan meningkat kepada RM920.09 juta berbanding RM640.10 juta sebelum ini.

Menurut beliau, prestasi kukuh syarikat pengeluar dan pembekal sarung tangan terbesar itu dipacu oleh perolehan jualan yang meningkat berikutan pertambahan jumlah jualan dan harga jualan yang lebih tinggi.

Ia turut disokong oleh kos bahan mentah dan tenaga yang lebih rendah serta inisiatif pengoptimuman kos yang berterusan, kata syarikat berkenaan.

“Permintaan pasaran amat memberangsangkan semasa suku berkenaan berikutan pandemik COVID-19 yang tidak dijangka.

“Berikutan gelombang kes baharu di Amerika Syarikat, Amerika Latin dan India serta pertambahan kes di negara-negara lain di seluruh dunia, lonjakan pertumbuhan permintaan ini dijangka berterusan untuk tahun-tahun yang akan datang.

“Akibat kekurangan sarung tangan di peringkat global, harga jualan purata dijangka menyaksikan semakan menaik pada suku berikutnya, sejajar dengan harga semasa pasaran,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Mun Leong menjelaskan, ekoran permintaan tersebut, Hartalega akan terus meningkatkan rancangan pengembangan kapasitinya menerusi Kompleks Pembuatan Sarung Tangan Bersepadu Generasi Akan Datang (NGC).

“Lapan daripada 12 barisan pengeluaran telah mula beroperasi bagi Kilang 6 di NGC, manakala bagi Kilang 7, barisan pengeluaran pertama berada di landasan untuk disiapkan menjelang Oktober 2020. Semua barisan pengeluaran sarung tangan pemeriksaan yang tinggal bagi Kilang 7 dijadual siap pada Mac 2021.

“Sementara itu bagi fasa pengembangan kami yang seterusnya di NGC 2.0, kami menyasarkan pengoperasian barisan pengeluaran pertama pada separuh pertama 2022. Kemudahan NGC 2.0 akan menyediakan kapasiti pemasangan tahunan sebanyak 32 bilion keping sebaik ia siap,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI