KUALA LUMPUR – Empat rakan didakwa di dua mahkamah Majistret dan Sesyen di sini sebentar tadi atas dua pertuduhan menyamar polis dan merompak seorang peniaga pakaian bulan lalu.
Bagaimanapun keempat-empat tertuduh iaitu, Abu Hasan Mohd. Andar, 45, Yap Kian Ang ,36, Mohd. Najwan Abd Rahim dan Rachman Helmi Nordi yang berusia 33 tahun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tawfiq Affandy Chin dan Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid.
Di Mahkamah Majistret, mereka didakwa dengan sengaja menyamar sebagai anggota polis terhadap Zulhaffizie Zulkarnain,23, di sebuah apartment di Jalan Robertson, Dang Wangi di sini pukul 5.15 pagi pada 27 Julai lalu.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut seksyen 170 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara di Mahkamah Sesyen, keempat-empat tertuduh didakwa dengan niat bersama telah melakukan rompak berkumpulan terhadap mangsa sama dengan merompak wang bernilai RM2,500 pada waktu, tempat dan tarikh yang sama.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal dan Timbalan Afiq Nazrin Zaharinan manakala keempat-empat tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian membenarkan Mohd. Najwan dan Rachman Helmi masing-masing diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin manakala dua lagi tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin kerana tiada penjamin.
Tarikh 19 Ogos depan ditetapkan untuk sebutan kes dan lantikan peguam. – K!ONLINE