fbpx

K2

Degupan karisma Dr. Masliza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DR. MASLIZA ditawar bekerja di Universiti Oxford, England sejak berada di tahun kedua pengajian Ijazah Doktor Falsafah.

Sepanjang berkarya, belum pernah penulis menemukan respons temu bual bersama seseorang dari luar negara dengan sebegitu pantas. Garis-garis longitud yang membezakan waktu sering menjadi halangan komunikasi. Namun, tidak dengan Dr. Masliza Mahmod.

Hanya 8 minit selepas penulis meninggalkan permintaan untuk melakukan temu bual di Twitternya, kiriman itu pantas dibalas meskipun di tempatnya jam melewati pukul 2 pagi. Seawal itu, penulis sudah mengagumi sosok bunga bangsa yang sedang mekar mengharumkan nama Malaysia di bumi Oxford, England ini.

“Dari dahulu lagi, saya adalah seorang yang tidak suka membuang masa. Anda tidak akan temui saya membuang waktu begitu sahaja,” ungkap Masliza kepada K2 ketika ditemu bual menerusi telefon bimbit dari England baru-baru ini.

Masliza, 48, mencetuskan bangga seluruh rakyat Malaysia baru-baru ini apabila dilaporkan menjadi wanita Malaysia pertama menyandang jawatan Profesor Madya dalam bidang perubatan kardiovaskular di universiti tersohor dunia, Universiti Oxford.

Biarpun fakta itu kemudian diperbetul bahawa seorang wanita lain, Dr. Phaik Yeong Cheah telah terlebih dahulu menjawat jawatan itu dalam bidang bioetika di universiti berkenaan, hakikatnya prestasi Masliza suatu yang luar biasa apabila mampu mencapai kedudukan itu di Universiti Oxford dalam bidang kardiologi yang kurang diceburi golongan wanita.

Ditawar bekerja

Kejayaannya bahkan mendapat perhatian tertinggi di negara ini sehingga Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al‑Mustafa Billah Shah turut berkenan merakamkan ucapan tahniah buatnya.

“Sejujurnya saya begitu terharu. Saya berada di Oxford demi Malaysia dan untuk berbakti kepada dunia. Saya ‘membawa bendera’ Malaysia di sini,” kata pakar kardiologi yang telah hampir dua dekad menceburi bidang tersebut.

Masliza juga mencipta sejarah kira-kira tiga tahun lalu apabila diberikan Anugerah Pensyarah Penyelidikan oleh universiti tersebut setelah berjaya memperoleh geran penyelidikan kardiovaskular bernilai RM16 juta menerusi kajian penggunaan teknik resonansi magnetik jantung (CMR) dari sebuah syarikat farmaseutikal.

Enggan memperincikan perihal peribadinya, wanita dari Kampung Parit Jambul, Parit Raja, Batu Pahat, Johor ini sekadar berkata, dia bukanlah berasal daripada keluarga yang dipupuk dengan bidang kedoktoran.

Lali mengharungi kehidupan susah sejak kecil sementelahan hidup dalam kemiskinan mengajarnya untuk belajar bersungguh-sungguh agar dapat mengubah nasib diri dan keluarga.

“Tapi di sekolah dahulu saya bukanlah pelajar terbaik. Cuma saya dapat rasakan semakin meningkat umur saya, prestasi pembelajaran semakin cemerlang,” katanya yang mendapat 11 agregat dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

DR. MASLIZA menjawat jawatan sebagai Ketua Kumpulan Penyelidikan Klinikal di Pusat Penyelidikan Resonansi Magnetik Klinikal (OCMR), Bahagian Perubatan Kardiovaskular, Universiti Oxford.- Ihsan DR. MASLIZA

Bercita-cita untuk menjadi doktor sejak kecil adalah berakar umbi daripada nalurinya yang suka menolong orang lain.

“Saya selalu membantu orang lain lebih daripada diri sendiri. Kawan-kawan juga sering anggap saya sebagai ‘penyembuh’ kerana saya sering memberikan mereka buah fikiran yang bernas apabila mereka mengadu masalah,” kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.

Masliza mengikuti pengajian doktor falsafah (PhD) bermula pada tahun 2010 dan selesai pada tahun 2013 di Universiti Oxford. Mengagumkan apabila dia dapat menghabiskan pengajiannya dalam tempoh tiga tahun sahaja yang jarang-jarang berjaya dilakukan pelajar lain.

“Tesis saya sangat disukai oleh penyelia-penyelia dan pemeriksa PhD saya sehingga dijadikan sebagai contoh untuk rujukan pelajar-pelajar PhD lain di jabatan. Ketika saya berada di tahun kedua PhD, saya telah ditawarkan untuk menjadi ketua penyelidikan klinikal di Universiti Oxford, sebuah universiti yang begitu terkenal dengan prestijnya dalam bidang sains perubatan,” katanya lagi.

Ditanya bagaimana minatnya terhadap bidang kardiologi muncul, Masliza berkata, minat hadir mungkin kerana dirinya seorang yang gemarkan cabaran dan kardiologi adalah antara bidang yang rumit dan mencabar.

Jati diri

“Semasa mengikuti pengajian di peringkat sarjana, saya dapati topik jantung suatu yang menarik dan perlu pemahaman yang mendalam terutamanya dalam usaha mencari dan memperbaik kaedah rawatan penyakit jantung. Perkara ini disifatkan bukan mudah dan mencabar serta memerlukan ketekunan dan kesabaran yang sangat kuat. Saya jenis yang lagi orang kata susah, lagi saya nak buat,” selorohnya yang merupakan tenaga pengajar penyelidikan dan klinikal Jabatan Perubatan Radcliffe, Universiti Oxford.

Hidup di negara orang bertahun-tahun ternyata tidak merubah jati dirinya yang sentiasa membawa imej dan identiti sebagai wanita Malaysia. Selesa berbicara dalam bahasa Melayu, temu bual kami juga diadakan sepenuhnya dalam bahasa ibunda. Bagai ular menyusur akar takkan hilang bisanya begitulah juga Masliza yang tetap kuat jati diri Melayunya.

“Saya tidak malu berbahasa Melayu dan dengan bangganya akan memberitahu orang bahawa saya dari Malaysia, walau ke mana pun saya pergi contohnya semasa menghadiri tugasan luar negara. Saya dan kumpulan saya menjadi rujukan dunia sejagat dan memberikan khidmat nasihat berhubung kardiologi dan jantung di banyak negara antaranya Amerika Syarikat, Kanada, Afrika Selatan dan banyak negara Eropah.

“Saya menyumbang kepada Malaysia dari sini. Saya membuka ruang untuk lebih ramai pelajar Malaysia diterima masuk ke universiti gah dunia ini. Saya mahu buktikan orang Melayu bukan malas dan bodoh. Di sini suasana kerjaya begitu kompetitif dan semuanya dinilai secara merit. Kejayaan saya untuk berada sama tinggi atau lebih daripada penduduk tempatan dan bangsa-bangsa lain telah menyebabkan mereka lebih kenal dan menghormati Malaysia,” katanya.

Masliza juga tidak lupa untuk mencurah bakti kepada Malaysia dalam bidang perubatan apabila dia kerap pulang ke tanah air untuk berkongsi kepakarannya dalam aspek penyelidikan klinikal, perubatan kardiovaskular, kepimpinan dan memberi khidmat nasihat kepada Institut Jantung Negara (IJN), Kementerian Kesihatan Malaysia dan universiti-universiti.

“Di Oxford, saya sering diminta mengetuai pelbagai penyelidikan kerana mereka menganggap saya mempunyai kebolehan untuk ‘membuat semuanya menjadi’. Mereka menyenangi kepimpinan saya kerana saya mampu memberi jawapan atau bimbingan kepada apa sahaja persoalan yang diajukan,” katanya.

DR. MASLIZA menyampaikan ceramah mengenai bagaimana menghasilkan kajian cemerlang di Institut Kesihatan Negara (NIH), Shah Alam, Selangor pada Jun tahun lalu.- Facebook DR. MASLIZA

Menyentuh mengenai perkembangan terbaharu penyelidikan yang diketuainya dengan geran RM16 juta itu, Masliza berkata, sebelum akhir tahun ini, keputusan kajian itu akan didedahkan dan dijangka memberi impak kepada seluruh dunia dalam memacu transformasi rawatan kegagalan jantung.

“Kami telah membuat eksperimen kepada pesakit kegagalan jantung dan ia dijangka menunjukkan perkembangan yang diharapkan. Ini bermaksud, kita telah menemui ubat terbaharu untuk penyakit kegagalan jantung.

“Saya kira dalam tempoh beberapa bulan lagi, kita akan dedahkan lanjut tentang keputusan kajian ini,” katanya yang memastikan bersenam selama satu jam sehari untuk kekal sihat.

Terus memberikan inspirasi, Masliza berharap lebih ramai wanita menceburi bidang perubatan kardiovaskular.

“Wanita mungkin kurang menggemarinya kerana bidang ini kompleks, mencabar dan memerlukan komitmen yang tinggi. Saya mahu menjadi contoh teladan untuk anda kerana sebenarnya masih banyak lagi yang misteri dan boleh diterokai tentang jantung,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI