SILVERSTONE – Pelumba Mercedes, Lewis Hamilton mengakui kemenangan di Grand Prix (GP) British adalah paling mencabar selepas menjuarai saingan itu dengan tiga tayar apabila jenteranya pancit pada pusingan terakhir di Litar Silverstone kelmarin.
Juara dunia enam kali Formula Satu (F1) itu mengakui insiden tersebut membuatkan jantungnya seakan-akan terhenti apabila sedar dia hanya dibezakan 32 saat dengan pelumba Red Bull Racing, Max Verstappen.
Hamilton terpaksa memandu perlahan jenteranya hingga ke garisan penamat dan hanya dibezakan lima saat dengan Verstappen yang ketika itu semakin menghampirinya.
“Saya merasakan tidak dapat untuk melepasi dua selekoh terakhir. Saya tidak percaya dapat melakukannya dan ketika itu jantung saya seakan terhenti. Saya cuba bertahan dan bertenang.
“Saya bernasib baik kerana insiden itu berlaku ketika laluan lurus bukannya di selekoh laju. Jika tidak ia akan menjadi satu masalah besar kepada saya,” kata Hamilton.
Hamilton melakar sejarah tersendiri apabila menjulang kemenangan ketujuh di gelanggang sendiri sekali gus semakin hampir untuk mengatasi rekod 91 kemenangan milik Michael Schumahcer jika dia mampu meraih juara pada empat perlumbaan sahaja lagi. – AGENSI