KUALA LUMPUR – Pemakaian pelitup muka tidak diwajibkan ke atas orang ramai semasa mereka berada di rumah atau dalam kenderaan sendiri.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelitup muka tidak diwajibkan kepada mereka yang melakukan aktiviti fizikal.
“Pemakaian pelitup muka juga tidak diwajibkan untuk kanak-kanak berumur dua tahun ke bawah.
“Pemakaian pelitup muka diwajibkan dalam pengangkutan awam seperti bas, teksi, kenderaan e-hailing atau LRT dan KTM serta tempat-tempat awam yang sesak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kosmo! hari ini melaporkan orang ramai berasa keliru dengan arahan pemakaian pelitup muka bermula 1 Ogos lalu.
Mereka menyambut baik arahan tersebut, namun berharap satu garis panduan yang jelas mengenainya diwujudkan.
Ia termasuk berhubung kewajipan memakai pelitup muka di kawasan riadah yang kurang sesak, dalam kenderaan persendirian serta di kedai makan. – K! ONLINE