fbpx

K2

Tebang pokok perlukan kemahiran tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KERJA-KERJA penebangan pokok dilakukan pada ketinggian 35 meter di Segambut, Kuala Lumpur baru-baru ini. – SHIDDIEQIIN ZON

Bunyi bising gergaji rantai memecah kesunyian di satu lot tanah terbiar di Seri Penchala, Segambut, Kuala Lumpur. Selang beberapa ketika, dahan-dahan sebatang pokok durian mula jatuh dari ketinggian 35 meter.

Matahari pukul 10 pagi mula menyelar tubuh jurugambar, Shiddieqiin Zon. Sesekali dia membetulkan kabel keselamatan yang mengikat diri dengan bucket jentera pengangkat sepanjang dua meter dan selebar satu meter.

Sesekali angin menyapu lembut keringat di muka dan tubuh. Shiddieqiin berhati-hati merakam gambar dua sosok subjek yang digelar ‘Bomoh Pokok’ yang sedang sibuk memangkas dahan.
‘Bomoh Pokok’ adalah nama jolokan bagi syarikat pakar tebang pokok, MSF Teguh yang diasaskan Mohd. Shahman Mohd. Fauzi, 34, pada tahun 2014.

Proses menebang pokok durian berusia puluhan tahun setinggi 35 meter itu mengambil masa tiga jam. Dahan dan batangnya dipotong sedikit demi sedikit sehingga ke pangkal.

“Kita terpaksa menebang secara berhati-hati dan sedikit-sedikit bagi mengelakkan dahan yang dipotong ini menimpa dan merosakkan pokok buah-buahan lain dan pagar di sekitarnya,” ujar Mohd. Shahman.

Pokok itu ditebang bagi pembinaan sebuah banglo di atas lot tanah berkenaan.

“Kontraktor binaan mendapatkan khidmat kami untuk menebang pokok durian ini bagi memberi ruang pembinaan kediaman di atas tanah ini.

“Jika tidak ditebang awal, bimbang pokok yang sakit ini akan mengancam persekitaran, sekali gus berisiko tumbang ke arah rumah yang bakal dibina kemudian hari,” kata bapa kepada tiga anak berusia tiga bulan hingga lima tahun itu.

Idea penubuhan

Menurut Mohd. Shahman, pada 2012 dia menjalankan perniagaan sewaan jentera kren pengangkat kepada beberapa kontraktor penebangan pokok di sekitar ibu kota.

“Walaupun pada ketika itu saya mempunyai pekerja dan pemandu jentera tersebut, saya kerap memandu sendiri. Pelbagai jenis tujuan jentera saya disewa termasuk untuk kerja mencantas dan menebang pokok.

“Sering kali apabila menerima penyewa untuk kerja berkaitan penebangan pokok, saya lihat mereka agak tidak mahir.

“Ada yang masih tercari-cari rentak, kekok dan kerap melakukan kesilapan hingga merosakkan harta benda dan kenderaan. Malah, yang paling ditakuti adalah mengakibatkan kemalangan,” ujarnya.

Katanya, teknik potongan mereka juga selalunya nampak cacat dan tidak sempurna.

“Saya mula perasan keadaan ini berlaku kerana selalunya mereka yang berada dalam bidang ini terlibat secara bidan terjun. Sangat kurang individu yang melakukan perkhidmatan ini secara khusus pada waktu itu.

“Jadi mereka sangat kurang dalam pengalaman dan teknikal, sedangkan pekerjaan ini sangat memerlukan kemahiran dan pengalaman kerana ini adalah bidang kerja berisiko tinggi.

“Ketika inilah saya mendapat idea untuk menubuhkan syarikat yang hanya terlibat dengan kerja-kerja menebang dan mencantas pokok secara khusus,” katanya.

Dia tidak melepaskan peluang untuk sama-sama bekerja dengan pelanggan jenteranya sendiri pada waktu itu.

“Saya ikut mereka menebang pokok semata-mata untuk menuntut ilmu dan menimba pengalaman selama dua tahun sebelum syarikat ini ditubuhkan dua tahun kemudian,” ujar penuntut jurusan kejuruteraan pendawaian sebuah kolej itu.

Ujar anak kelahiran Selangor dan membesar di Pahang itu, dia mendapat jolokan Bomoh Pokok itu berdasarkan namanya sendiri.

“Ramai tertanya-tanya kenapa dinamakan sedemikian sedangkan ironinya bomoh atau dukun adalah merawat penyakit, tetapi skop tugas saya adalah ‘membunuh’ pokok.

“Sejak di bangku sekolah ada rakan-rakan memanggil saya Shaman berbanding Shahman. Shaman itu jika di dalam bahasa Inggeris bermaksud bomoh.

“Jadi, nama ini agak nostalgia pada saya sebelum saya buat jolokan untuk perkhidmatan tebang pokok ini.

“Namun, timbul pula hal kelakar apabila kami turut menerima pertanyaan sama ada boleh menyelesaikan hal-hal mistik membabitkan khidmat menghalau hantu dan jembalang,” katanya diikuti ketawa kecil.

Skop tugas Bomoh Pokok secara asasnya melakukan kerja-kerja menebang dan mencantas pokok bermasalah.

 

MOHD. Shahman menitikberatkan aspek keselamatan bagi mengelakkan sebarang kemalangan di lokasi kerja.

Pokok bermasalah yang dimaksudkan adalah pokok terlalu besar, pokok condong berisiko untuk tumbang atau pokok yang sudah tumbang.

Malah, ia turut merangkumi pokok berpenyakit, pokok yang mengganggu pemandangan, mengganggu sistem talian elektrik dan komunikasi, akar pokok yang merosakkan struktur kediaman serta bangunan dan pelbagai lagi masalah lain.

Cuaca yang tidak menentu kebelakangan ini memaksa MSF Teguh sentiasa bersedia dengan segala cabaran, lebih-lebih lagi terlibat dalam sektor 3D iaitu dirty, dangerous and difficult (kotor, sukar dan berbahaya).

Aspek keselamatan sentiasa dititikberatkan dalam menyelesaikan sesuatu tugas.

“Cabaran paling sukar dihadapi kami adalah apabila pokok terlalu besar dan ditanam atau tumbuh di tempat yang terlalu sempit. Kadangkala, pokok besar yang terlalu rapat dengan bangunan mengundang risiko terhadap bangunan itu sendiri.

“Tiada laluan atau ruang untuk meletakkan jentera atau kren jadi kita perlu menggunakan teknik manual iaitu dengan kaedah memanjat.

“Jadi kita berhadapan dengan risiko dalam setiap tugasan sebegini. Ketelitian dan fokus dalam pekerjaan amat diperlukan bagi mengelak kerosakan harta benda dan mengancam nyawa kru kami sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kesesuaian peralatan menebang juga amat dititikberatkan bagi melancarkan pekerjaan.

Segala peralatan yang digunakan perlu berada dalam keadaan terbaik untuk sebarang tugasan.

“Alhamdulillah, setakat ini rata-rata pelanggan kami berpuas hati dengan perkhidmatan kami. Apa yang lebih penting mereka berasa selamat dengan cara kami dan segala kerja dilakukan dengan sempurna,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI