DUA perlumbaan antarabangsa yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) iaitu Kejuaraan Endurance Dunia (EWC) dan perlumbaan Piala Touring Car Dunia (WTCR) pada Disember ini dibatalkan berikutan kebimbangan wabak Covid-19.
Pada Jumaat lalu, pihak pengurusan SIC menzahirkan kekecewaan selepas perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) bagi saingan Grand Prix (GP) Malaysia tahun ini dibatalkan.
Pembatalan itu diumumkan oleh pemilik hak komersial sukan permotoran berkenaan, Dorna Sports selepas mengambil kira situasi pandemik Covid-19 yang masih belum pulih.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, meskipun kecewa dengan keputusan tersebut, namun beliau akur kerana enggan mengambil risiko terhadap kesihatan semua pihak.
“Selepas ketiadaan MotoGP tahun ini, kita terpaksa mengumumkan dua perlumbaan lain iaitu EWC dan WTCR juga dibatalkan. Mengikut situasi ketika ini, semua perlumbaan antarabangsa dibatalkan.Meskipun perit untuk diumumkan tetapi itu langkah terbaik demi menjaga keselamatan semua pihak.
“Untuk tahun depan sama ada kita hendak anjurkan atau tidak WTCR dan EWC ini, kita akan umumkan menerusi perbincangan tidak lama lagi,” katanya.
Sementara itu, peminat MotoGP negara yang sudah membuat tempahan tiket tidak perlu cemas apabila SIC memberi jaminan bahawa penonton boleh menuntut kembali wang mereka.
“Peminat MotoGP yang sudah membeli tiket, mereka boleh berhubung dengan pihak kami untuk mendapatkan semula duit mereka. Kita akan bagi tahu proses penebusan semula dan ada cadangan untuk membawa tiket ini ke tahun depan, namun kita akan umumkan kepada mereka nanti,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Azhan Shafriman berkata, pihaknya akan melakukan perbincangan semula bersama Dorna Sports mengenai kalendar MotoGP 2021 yang masih belum dapat ditentukan.
“Berdasarkan keadaan semasa, kami belum dapat jangkakan apa yang akan berlaku pada tahun depan mengenai kalendar MotoGP 2021. Ini kerana kita masih dalam fasa pemulihan. Terdapat beberapa lagi fasa yang perlu kita hadapi,” tambahnya. – K! ONLINE