fbpx

Porto rakam kejuaraan berganda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PORTO merangkul kejuaraan Piala Portugal selepas menundukkan musuh tradisi, Benfica pada aksi awal pagi semalam. – AFP

COIMBRA, Portugal – Porto berjaya meraih kejuaraan berganda musim ini selepas menjuarai Piala Portugal dengan menewaskan musuh tradisi, Benfica 2-1 pada aksi final di Estadio ­Cidade de Coimbra awal pagi semalam.

Kejayaan itu menyaksikan The Dragoes berjaya menjulang Piala Portugal yang diberi gelaran Taca de Portugal tersebut sebanyak 17 kali selepas kali terakhir memenanginya pada musim 2010-2011.

Lebih menarik, bekas penjaga gol Porto, Iker Casillas dijemput naik ke podium bersama-sama barisan pemain untuk meraikan kejayaan mereka menjulang gelaran kedua selepas menjuarai Liga Primeira baru-baru ini.

“Sepanjang tiga tahun saya di sini, saya boleh katakan kejayaan ini disebabkan faktor Sergio Conceicao iaitu ketua jurulatih Porto yang berjaya menerapkan mentaliti kemenangan dalam pasukan ini.

“Saya amat berbangga kerana pernah menjadi sebahagian daripada pasukan ini,” kata Casillas yang menjadikan Porto pasukan terakhir diwakilinya sebelum membuat keputusan bersara di­sebabkan masalah kesihatan.

Porto terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas penyerang Colombia, Luiz Dias dilayangkan kad merah seawal minit ke-38 permainan.

Bagaimanapun, ia tidak menghalang Porto yang tetap berupaya mempamerkan aksi terbaik dengan meledak dua gol melalui Chancel Mbemba pada minit ke-47 dan 58.

Benfica cuba bangkit dalam perlawanan itu dengan merapatkan kedudukan menerusi jari­ngan Carlos Vinicius pada minit ke-84 tetapi ia sudah terlambat apabila kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat permainan untuk Porto meraih juara. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI