Oleh NUR SYAZWANA MANSOR
SUNGAI PETANI – Seorang peniaga santan di Pasar Awam Tikam Batu di sini menafikan dakwaan dia dan kakaknya dijangkiti wabak Covid-19 seperti ditularkan di Facebook.
Wanita berusia 33 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Tikam Batu di sini hari ini berhubung penularan maklumat palsu tersebut.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, mangsa dari Kampung Berapit mengusahakan santan di Pasar Awam Tikam Batu manakala kakaknya bekerja di Pertubuhan Peladang Kawasan di Jitra dekat sini.
“Kakak mangsa hanya pulang seminggu sekali ke Tikam Batu serta telah membuat ujian saringan Covid-19 pada semalam, namun keputusan saringan masih belum diperolehi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, kejadian disedari semasa mangsa melayari Facebook dan mendapati seorang pemilik akaun memuat naik di ‘group’ Penduduk Tikam Batu mengaitkan kedai santan di Pasar Tikam Batu dengan Covid-19.
“Penyebaran berita palsu itu didakwa mampu menyebabkan perniagaan pengadu dan peniaga lain di pasar awam itu terjejas,” katanya.
Menurut Shamsudin, pemilik akaun tersebut bagaimanapun memadamkan hantaran berkenaan dan memuat naik hantaran baharu berbunyi “Dapat berita daripada rakan, tolong abaikan mesej tentang Covid-19 di kawasan Tikam Batu. Berita Palsu”
“Mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Tikam Batu bagi menafikan dakwaan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” ujarnya.
Beliau pada masa sama menasihati orang ramai agar tidak mempercayai maklumat daripada sumber tidak sahih sebaliknya merujuk kepada pihak berkuasa.
“Polis juga meminta orang ramai tidak menyebarkan sebarang berita yang tidak benar sehingga boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan masyarakat,” katanya. – K! ONLINE